Beasley kunci mulut sehingga berakhir Sukan Asia

Beasley kunci mulut sehingga berakhir Sukan Asia

John Beasley
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: John Beasley terus mengunci mulut mengenai masa depannya selepas memberi bayangan mahu meninggalkan program berbasikal negara dan hanya bersedia membuat keputusan muktamad selepas tamat Sukan Asia di Aichi-Nagoya Jepun 2026.

Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan itu berkata, tumpuan ketika ini sepenuhnya terarah kepada persiapan atlet negara dan beliau enggan sebarang spekulasi mengenai kedudukannya mengganggu fokus skuad kebangsaan.

Menurut Beasley, suasana yang lebih tenang diperlukan bagi memastikan pelumba negara dapat memberi perhatian penuh terhadap cabaran di temasya terbesar Asia itu.

“Saya tidak mahu mengulas apa-apa sehingga selepas Sukan Asia kerana itulah fokus utama kami ketika ini.

“Kami perlukan suasana yang lebih tenang demi berlaku adil kepada para pelumba,” katanya.

Kenyataan ringkas itu sekali lagi menguatkan spekulasi bahawa jurulatih kelahiran Australia berusia 65 tahun tersebut bakal menamatkan era lebih dua dekad bersama berbasikal Malaysia apabila kontraknya berakhir pada 31 Januari tahun depan.

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill memberi bayangan bahawa pemergian Beasley tidak akan menamatkan kewujudan jawatan Pengarah Teknikal yang diperkenalkan tahun lalu.

Menurut Amarjit, PKBM masih melihat jawatan itu sebagai komponen penting dalam usaha membentuk struktur pentadbiran dan pembangunan berbasikal yang lebih profesional.

“Jika kita mahu mempunyai sebuah persekutuan yang lebih profesional dan tersusun, kita perlu mempunyai jawatan seperti ini.

“Saya masih berpendapat idea mewujudkan jawatan Pengarah Teknikal adalah sesuatu yang baik dan relevan,” katanya.

Amarjit bagaimanapun mengakui skop tugas jawatan tersebut perlu diteliti semula kerana penyandangnya perlu berurusan dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), MSN negeri, persatuan negeri serta jurulatih yang mempunyai keutamaan dan sistem kerja berbeza.

Perkembangan itu memberi petunjuk bahawa PKBM bukan sahaja perlu mencari pengganti Beasley, malah sedang merancang bentuk baharu jawatan Pengarah Teknikal bagi memastikan kesinambungan pembangunan berbasikal negara tidak terjejas selepas berakhirnya era jurulatih paling berpengaruh dalam sejarah sukan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN