Di sebalik senyuman dan keyakinan yang sering dipamerkan di hadapan kamera oleh pelakon dan peragawati, Nia Atasha, siapa sangka wanita berusia 29 tahun ini pernah berada di titik paling rendah dalam perjalanan seninya dengan mengakui hatinya terdetik untuk melupakan terus impian sebagai pelakon.
Menurut Nia, dia pernah merasakan dirinya sudah terlalu lama menunggu peluang yang diimpikan dalam industri seni sehingga timbul persoalan adakah bidang lakonan benar-benar mempunyai ruang untuk dirinya?
Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Nia menerima tawaran sebagai heroin filem Kata Hati karya Nadiah Hamzah sekali gus mengembalikan semula keyakinannya untuk terus bertahan dalam industri.
“Saya memang pernah sampai ke satu tahap rasa macam mungkin lakonan ini bukan untuk saya. Ketika itu saya fikir, mungkin lebih baik saya fokus kepada dunia peragaan sahaja kerana peluang dalam lakonan seperti tidak kunjung tiba.
“Kalau hendak ikutkan, saya memang hampir berputus asa. Saya sudah mula fikir untuk berehat dan berhenti berharap.
“Dalam kepala saya ketika itu cuma ada satu perkara, mungkin ini bukan rezeki saya dan mungkin dunia peragaan adalah laluan yang lebih sesuai.
“Tetapi apabila peluang itu datang melalui Kata Hati, saya tarik semula semua niat untuk mengalah. Saya rasa macam, okey, mungkin saya masih ada ruang dan peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu. Saya sangat bersyukur kerana ada orang yang sanggup melihat saya lebih daripada sekadar seorang model,” katanya.
Menurut Nia, antara perkara paling sukar untuk diterima adalah apabila dia sering merasakan dirinya tidak memenuhi kriteria yang dicari penerbit atau pengarah.

Katanya, walaupun ramai beranggapan model lebih mudah mendapat peluang berlakon kerana sudah dikenali dalam industri, hakikatnya persaingan tetap sengit.
“Orang selalu fikir bila kita datang daripada dunia peragaan, semuanya jadi lebih mudah. Ya, mungkin kita sudah dikenali dan ada sedikit kelebihan kerana orang tahu siapa kita.
“Tetapi itu tidak bermaksud kerja itu mudah. Kita masih bersaing dengan ramai pelakon yang mempunyai pengalaman, portfolio dan kemampuan lakonan yang jauh lebih hebat.
“Kadang-kadang bukan sebab kita tidak berbakat, tetapi kita bukan pakej yang mereka sedang cari ketika itu. Sebab itulah saya selalu cakap, kalau mahu jadi pelakon, kita memang kena sabar.
“Kadang-kadang peluang itu sebenarnya sudah dekat, cuma kita tidak nampak kerana terlalu kecewa dan terlalu cepat berputus asa,” katanya.

TIDAK PERLU KONTROVERSI UNTUk POPULAR
Dalam perkembangan lain, sebagai seorang anak seni, Nia turut mengakui dirinya tidak terlepas daripada menjadi sasaran kontroversi dan kecaman netizen.
Malah, antara perkara yang paling kerap diperkatakan mengenai dirinya adalah imej seksi yang dibawanya sejak bergelar model.
Bagaimanapun, Nia menegaskan dia tidak pernah berniat untuk mencipta sensasi atau kontroversi semata-mata untuk meraih perhatian.
“Saya percaya seseorang itu tidak perlu mencipta kontroversi untuk membina nama. Mungkin ada yang berpendapat kontroversi membantu kerana masyarakat kita suka sensasi dan suka memperbesarkan perkara kecil.
“Tetapi secara peribadi, kalau boleh saya tidak mahu melalui semua itu. Saya sendiri sebenarnya seorang yang takut untuk berdepan dengan perkara-perkara seperti ini.
“Sebab itu, pada awalnya saya tidak begitu gemar melakukan temu bual atau muncul dalam podcast kerana bimbang apa yang saya cakap akan disalah tafsir.
“Namun pada masa sama, saya percaya seseorang itu masih boleh berjaya tanpa kontroversi. Kalau kerja kita bagus dan orang suka bekerja dengan kita, akhirnya penonton tetap akan menerima dan menyayangi kita,” katanya.

JANGAN TERKEJUT, ITU MEMANG SAYA
Mengulas mengenai imej seksi yang sering menjadi topik perbualan ramai, Nia berkata, dia memilih untuk menjadi dirinya sendiri dan tidak mahu berpura-pura semata-mata untuk memenuhi jangkaan orang lain.
Katanya, apa yang dipaparkan di media sosial adalah gambaran dirinya yang sebenar dan dia tidak mahu mencipta karakter berbeza hanya untuk dilihat sempurna di mata masyarakat.
“Saya sudah lama membuat keputusan tentang apa yang mahu saya kongsikan dan apa yang mahu saya simpan untuk diri sendiri.
“Kalau saya berpakaian seperti yang orang lihat sekarang, itu memang diri saya. Jadi, jangan terkejut apabila berjumpa saya di luar kerana saya tidak berpura-pura menjadi orang lain.
“Malah ketika saya mula berlakon, ada juga yang mencadangkan supaya saya mengubah sedikit imej di Instagram dan berpakaian dengan cara yang lebih diterima ramai. Tetapi saya menolak cadangan itu kerana saya tidak mahu membina kerjaya atas sesuatu yang bukan diri saya.
“Saya rasa lebih mudah untuk jujur dari awal. Saya tidak mengharapkan semua orang menyukai saya. Itu bukan matlamat saya. Apa yang saya mahu adalah orang melihat kemampuan dan hasil kerja saya.
“Kalau saya mahu menjadi individu yang memenuhi semua kriteria untuk disayangi orang ramai, saya tahu caranya. Tetapi itu datang bersama tanggungjawab yang sangat besar. Saya lebih selesa menjadi diri sendiri dan berubah mengikut masa serta pengalaman hidup, bukannya berubah semata-mata kerana mahu memuaskan hati orang lain,” katanya.
Pada masa sama, bagi Nia, setiap individu berhak menentukan cara hidup masing-masing dan dia memilih untuk bergerak mengikut rentak sendiri sambil terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
“Saya percaya manusia sentiasa berubah. Mungkin hari ini saya begini, mungkin 20 tahun lagi saya akan menjadi orang yang berbeza. Kita tidak pernah tahu.
“Tetapi kalau perubahan itu berlaku, saya mahu ia berlaku secara semula jadi dan mengikut masa saya sendiri. Buat masa sekarang, saya hanya mahu orang mengenali saya sebagaimana diri saya yang sebenar,” katanya.










