DEWAN RAKYAT: RUU Suruhanjaya Kanak Kanak dibentang tidak

DEWAN RAKYAT: RUU Suruhanjaya Kanak Kanak dibentang tidak lama lagi 

AZALINA Othman Said semasa Program Walkabout Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 di lobi Parlimen hari ini. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 30 November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap sekurang-kurangnya bacaan pertama RUU itu dapat dilaksana tahun ini.

“Selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai, kerajaan ada tiga hari untuk pembentangan rang undang-undang lain, jadi, kami cuba juga pada sesi kali ini, ada masa untuk pastikan bacaan kali pertama dapat kami lakukan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kami tumpu sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 di lobi Parlimen hari ini.

Azalina juga berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

“Saya berpendapat isu mengenai golongan rentan terutama kanak-kanak perlu dijadikan realiti dengan penyertaan ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak…Anda perlu bersatu padu demi kanak-kanak,” katanya.

Pada 12 September lalu, Azalina dilaporkan berkata, pihaknya mahu suruhanjaya tersebut yang ketika ini berada di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk berdiri sendiri sebagai sebuah badan dengan mempunyai aktanya tersendiri.

“Suruhanjaya Kanak-Kanak bukan pengendali atau agensi, tetapi, ia badan pemantau dalam segala aspek isu kanak-kanak. Undang-undang merangkumi isu kanak-kanak ini melebihi pendidikan (iaitu seperti) isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan.

“Banyak kementerian ada menyentuh isu kanak-kanak, jadi, apa yang kita memerlukan (Suruhanjaya Kanak-Kanak) untuk menilai semula dasar-dasar kerajaan apabila mengendalikan isu berkaitan kanak-kanak,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN