KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah peruntukan dana, bagi pelaburan domestik sepanjang tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KWSP akan terus memberi keutamaan terhadap pelaburan domestik dengan memperuntukkan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan.
“Ini termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank tempatan. Bagi memastikan KWSP dapat mengoptimum pelaburannya dengan mampan, Panel Pelaburan KWSP sentiasa berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).
“Ia memperuntukkan aset pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, geografi, mandat dan strategi selaras objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah pengurus dana persaraan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (PN-Putrajaya) mengenai rasional arahan Menteri Kewangan supaya pegangan pelaburan KWSP di luar negara dikurangkan daripada 36 peratus kepada 30 peratus.
Beliau juga mahu tahu berapa peratusan pegangan pelaburan KWSP di luar negara ketika ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak 2019 hingga tahun ini, KWSP memperuntukkan Alokasi Dana Tahunan purata melebihi 80 peratus untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.
Katanya, sebanyak RM1.082 trilion jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP sejak penubuhan KWSP pada 1951 hingga kini.
“Daripada itu, 61.4 peratus dilaburkan dalam pelaburan domestik, manakala 38.6 peratus lagi dalam pelaburan luar negara,” katanya. – UTUSAN










