KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.1 trilion jumlah dana pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 31 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim berkata, daripada jumlah itu, purata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah 64.9 peratus yang mana 24.4 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik.
Selain KWSP, katanya, dana-dana pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) juga merangkumi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Bagi tempoh 2019 sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan PNB adalah RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3 peratus yang mana 74.4 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
“Bagi dana pelaburan LTH, sehingga 31 Ogos, 2023, ia berjumlah RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1 peratus yang mana 18.3 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
“Sehingga 31 Ogos 2023, jumlah dana pelaburan LTAT adalah RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilabur dalam pasaran domestik yang mana 52 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse [PH-Tebrau] yang mahu mengetahui tentang jumlah pelaburan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara dan jika keseluruhan pelaburan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menguatkan pasaran ekuiti Malaysia.
Steven berkata, sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos 2023, sebahagian besar atau lebih 60 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik.
Jelasnya, berdasarkan peruntukan aset strategik, antara 15.8 peratus hingga 62.7 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.
Selain itu, katanya, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pengurus dana kekayaan negara telah membuat pelaburan domestik sebanyak RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang bernilai RM28.3 bilion. – UTUSAN










