KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji pelaksanaan sijil cuti sakit digital atau e-MC bagi membendung risiko pemalsuan dan penyalahgunaan sijil cuti sakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau akan mengarahkan Bahagian Kesihatan Digital KKM meneliti perkara itu dengan segera.
Dzulkefly berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan susulan kes penjualan sijil cuti sakit palsu yang kini dalam siasatan polis.
“Apa pun, kes itu dalam siasatan polis dan kita izinkan polis melakukan siasatan.
“Kami tidak akan berkompromi kalau ada kesalahan dari sudut etika dan “misconduct’ dalam pekerjaan yang serius,” katanya pada sidang media Program Cik Era Naik MRT di MRT TRX, di sini hari ini.
Beliau berkata, sijil cuti sakit hanya boleh dikeluarkan oleh doktor atau pegawai perubatan yang merawat pesakit.
Katanya, perkara itu jelas dan tidak boleh dilakukan pihak lain termasuk jururawat.
Dzulkefly berkata, kes tersebut menjadi isyarat kepada KKM untuk melihat keperluan bergerak ke arah sijil cuti sakit digital.
Beliau berkata, pendekatan itu mampu membantu mengurangkan penggunaan dan penyalahgunaan sijil cuti sakit palsu.
“Saya yakin Bahagian Kesihatan Digital kami yang sangat giat membawa pendekatan kesihatan digital akan saya arah untuk membuat kajian seberapa segera.
“Kalau kita mahu bergerak ke arah digital, kita patut bergerak ke arah itu supaya dapat mengurangkan penyalahgunaan,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, polis menahan sembilan individu bagi membantu siasatan kes jual beli sijil cuti sakit palsu yang dipercayai aktif di Pekan, Pahang.
Kes itu bermula dengan penahanan lima individu termasuk seorang jururawat klinik kerajaan sebelum empat lagi individu ditahan hasil siasatan susulan.
Siasatan awal mendapati sijil cuti sakit berkenaan dipercayai dijual antara RM50 hingga RM200 sekeping dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) turut memantau dakwaan sindiket penjualan sijil cuti sakit palsu yang menggunakan nama dan nombor pendaftaran profesional doktor.
Katanya, MMC dijangka tampil dengan penjelasan berhubung perkara itu dan akan memainkan peranan bagi menangani isu berkenaan.
“MMC akan menjadi agensi yang mengambil peranan untuk menguruskan ini termasuk bekerjasama dengan maklumat daripada pihak berkaitan bagaimana identiti doktor boleh dikompromi,” katanya. – UTUSAN










