KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membelanjakan sebanyak RM733,262,510 melalui wang zakat yang disalurkan kepada kira-kira 170,000 orang yang menerima manfaat dari perbelanjaan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, angka itu menunjukkan kerajaan terus prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya yang berkaitan dengan kenaikan kos harga barang.
“Dalam konteks golongan fakir dan miskin, majlis agama Islam negeri dan agensi mengurus zakat seluruh negara terus komited dalam melaksanakan pelbagai program bantuan terhadap golongan sasar asnaf fakir dan miskin.
“Bagi konteks di Wilayah-Wilayah Persekutuan, MAIWP menawarkan sebanyak 38 skim bantuan yang dipecahkan kepada enam kluster iaitu kebajikan, perubatan, pendidikan, perlindungan/perumahan, ekonomi serta dakwah dan pembangunan ummah,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Katanya, majlis agama dan agensi mengurus zakat kekal mengguna pakai kaedah had kifayah dalam penentuan jenis dan jumlah bantuan yang disalurkan kepada semua asnaf yang layak.
“Sehubungan itu, melalui pengenalpastian golongan sasar yang jelas serta kaedah had kifayah ini, agihan yang teratur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Sebarang isu yang timbul berkaitan kutipan dan agihan akan sentiasa diteliti dan dibincangkan oleh semua majlis agama dan agensi mengurus zakat melalui platform Majlis Pengurusan Zakat Negeri-negeri (MPZN) yang dikendalikan oleh sekretariat yang dilantik dan Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat bersama majlis agama dan agensi mengurus zakat yang diurussetiakan oleh Jawhar,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai usaha yang dilakukan kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan khususnya asnaf fakir dan miskin dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan harga barangan yang semakin mahal. -UTUSAN










