PETALING JAYA: Atlet gimnastik artistik lelaki negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam enggan menjadikan Sukan Komanwel Glasgow 2026 sekadar pentas pemanas badan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya, sebaliknya berazam memburu pingat pada penampilan keduanya di temasya berprestij itu.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 itu berkata, peluang beraksi di Sukan Komanwel yang hanya berlangsung setiap empat tahun sekali terlalu berharga untuk disia-siakan tanpa membawa pulang sebarang pencapaian bermakna.
Menurut Sharul Aimy, walaupun kejohanan di Glasgow bakal menjadi medan penting untuk mengukur tahap persediaannya sebelum menghadapi cabaran lebih getir di Sukan Asia, sasaran utamanya tetap terarah kepada podium.
“Saya memang menyasarkan pingat di Sukan Komanwel kali ini. Memang ia juga kejohanan ujian sebelum Sukan Asia, tetapi saya mahu pulang dengan sesuatu yang membanggakan buat negara.
“Kita tahu tahap persaingan di Sukan Asia lebih tinggi, jadi saya berharap dapat mempamerkan prestasi terbaik di Glasgow sebagai persediaan menuju Aichi-Nagoya,” katanya.
Atlet berusia 25 tahun itu bakal beraksi dalam dua acara iaitu senaman lantai dan melombol, namun mengakui acara lompatan kekal menjadi sandaran utama berdasarkan rekod kejayaannya sebelum ini.
Katanya, sebahagian besar pencapaian terbaik yang diraih termasuk di pentas Kejohanan Asia hadir menerusi acara tersebut dan dia optimis mampu memberikan saingan sengit jika berjaya melangkah ke final.
“Melombol memang acara kegemaran saya dan saya berharap dapat layak ke final. Jika dapat ke final senaman lantai juga, itu satu bonus.
“Apabila sudah berada di final, saya akan memberikan segala-galanya untuk memburu pingat,” katanya.
Mengulas persiapan menjelang temasya itu, Sharul Aimy berkata program latihan berjalan lancar mengikut perancangan dengan fokus utama diberikan kepada aspek kecergasan dan peningkatan kualiti persembahan.
Atlet kelahiran Terengganu itu turut berusaha meningkatkan tahap kesukaran rutin terutama dalam acara melombol bagi memperkukuhkan peluang mencabar kelompok terbaik dan merealisasikan impiannya untuk menaiki podium di Glasgow. – UTUSAN










