PETALING JAYA: Selepas melakar sejarah muncul atlet Malaysia pertama memenangi tiga pingat emas berturut-turut di Sukan Komanwel, jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mengakui misinya masih belum selesai apabila kini mula memasang impian memburu emas keempat pada edisi akan datang.
Kejayaan atlet berusia 32 tahun itu di Glasgow bukan sekadar menghadiahkan emas kedua buat kontinjen negara, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai atlet angkat berat paling berjaya pernah dimiliki Malaysia selepas turut muncul juara di Gold Coast 2018 dan Birmingham 2022.
Lebih manis, kemenangan dalam kategori 65 kilogram (kg) lelaki itu hadir dengan gaya cukup bergaya apabila Aznil memecahkan tiga rekod temasya menerusi angkatan keseluruhan 299kg, termasuk 133kg dalam acara snatch dan 166kg bagi clean and jerk.
“Saya sudah memenangi tiga pingat emas dan pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk saya memburu pingat emas keempat.
“Kejayaan ini memberikan motivasi untuk saya mengejar sasaran utama, iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.
Pada aksi final di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo semalam, Aznil sekali lagi membuktikan penguasaannya apabila meninggalkan pencabar terdekat dari India, Raja Muthupandi yang meraih perak dengan jumlah angkatan 286kg, manakala Morea Baru dari Papua New Guinea membawa pulang gangsa selepas mencatat 282kg keseluruhan.
Lebih bermakna, kejayaan itu hadir ketika skuad angkat berat negara terus mempamerkan penguasaan di Glasgow apabila Mohamad Aniq Kasdan terlebih dahulu menghadiahkan emas pertama Malaysia menerusi kategori 60kg lelaki dengan jumlah angkatan 273kg.
Turut menceriakan kem negara ialah Irene Jane Henry yang menyumbang pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita selepas melakukan jumlah angkatan 167kg pada penampilan sulungnya di temasya tersebut. – UTUSAN









