Cadang sebat mandatori penyeleweng diesel bersubsidi

Cadang sebat mandatori penyeleweng diesel bersubsidi

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua pihak yang terlibat kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi perlu dikenakan hukuman sebat mandatori kerana undang-undang sedia ada dilihat tidak menggerunkan golongan terbabit.

Ketika ini, tindakan kepada individu terlibat kegiatan itu boleh diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

Jika sabit kesalahan di bawah Akta 613, boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, hukuman sebat itu perlu membabitkan semua pihak terlibat termasuk pekerja dan pengusaha pam minyak, pemandu lori, pemborong kecil, pemborong pukal serta pegawai-pegawai penguatkuasa agensi kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas untuk menghapuskan penyelewengan dan ketirisan minyak diesel bersubsidi daripada peringkat pengusaha pam minyak hingga ke pengeksport haram yang menjejaskan ekonomi negara.

Katanya, jika gagal, ia akan menyebabkan kerajaan terpaksa melupuskan minyak diesel bersubsidi dan berlaku kenaikan kos pengangkutan, barangan dan akhirnya pengguna terpaksa menanggung kos kenaikan harga barang.

“Sekiranya sebuah lori ditahan atas kesalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, pemandu lori perlu disiasat hingga ke akar umbi, ke mana minyak diesel bersubsidi itu dihantar, siapa pembeli, peruncit, pemborong dan juga termasuk tangkapan stor minyak terbabit.

“YPNM mencadangkan setiap pam di buat audit forensik. Persoalannya, lori satu tan tangki minyak hanya boleh diisi 60 liter diesel sahaja, bagi lori tiga tan, hanya boleh diisi 100 liter diesel, tetapi di pam minyak, mereka boleh beli hampir 300 liter sekali isian.

“Lori yang sama berulang kali ke stesen minyak untuk mengisi minyak diesel bersubsidi secara bebas dan tanpa rasa takut serta bersalah. Jadi bagi menggerunkan penyeleweng minyak diesel bersubsidi, undang-undang sedia ada khususnya Akta 613 perlu terus dikuatkuasakan dan ditambah dengan hukuman sebat mandatori kepada semua yang terlibat,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut penyelewengan diesel bersubsidi, Firdaus mendakwa, pihak tidak bertanggungjawab menggunakan lori kotak jenis satu tan, tiga tan dan lori kargo yang diubah suai untuk membeli minyak berkenaan di stesen-stesen minyak dengan harga bersubsidi.

Beliau mendakwa, pengusaha dan pekerja stesen minyak berpakat menjual minyak diesel bersubsidi dengan kuantiti yang besar kepada lori-lori diubah suai terbabit.

“Lori-lori ini menjual diesel bersubsidi itu kepada peniaga haram yang memiliki stor di seluruh negara. Pemilik stor ini, menjual diesel bersubsidi kepada penyeludup yang mengutip sekurang-kurangnya 40,000 liter diesel satu treler setiap penghantaran.

“Pemborong utama diesel bersubsidi menjual minyak ini kepada kapal-kapal haram ke luar negara. Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi ini mengendalikan operasi mereka dengan bantuan kongsi-kongsi gelap yang turut menjadi tonto dibayar mengikut bilangan lori setiap daerah.

“Setiap lori dikenakan RM1,000 sebulan. Peringkat pindahan minyak ke kapal dan pindahan minyak melalui lori ke luar negara dibantu oleh sindiket dan kumpulan mafia antarabangsa,” dakwanya.

Beliau mendakwa, setiap lori satu tan boleh mengutip hampir 5,000 liter diesel bersubsidi sehari dengan keuntungan 50 sen satu liter.

“Ada setengah stor dapat mengeluarkan hampir 120,000 liter diesel sehari yang dibekalkan oleh lori-lori kecil dan pemilik stor dapat keuntungan 50 sen seliter, hampir RM60,000 sehari,” dakwanya.

Menurutnya, kerajaan pada tahun lalu mengalami kerugian RM52 bilion untuk membekalkan subsidi diesel.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN