Bukan lagi jadi ‘scammer’ tapi diculik untuk tebusan

Bukan lagi jadi ‘scammer’ tapi diculik untuk tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kumpulan sindiket jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar kini telah pun mengubah modus operandi dengan tidak lagi ditawarkan janji pekerjaan lumayan tertentu.

Sebaliknya kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, mangsa itu memang diculik untuk tebusan.

“Ada keluarga mangsa sudah bayar puluhan ribu ringgit, tetapi masih terkandas di premis sindiket di negara itu lebih setahun tanpa dibebaskan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan tujuh mangsa itu yang tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dari Bangkok, Thailand.

Baki seorang lagi mangsa dijangka balik ke tanah air esok kerana perlu menyelesaikan beberapa proses perundangan dan dibantu Kedutaan Besar Malaysia di negara tersebut.

Mengulas lanjut, Hishamuddin menambah, semua mangsa itu dibawa ke Myanmar hampir sebulan lalu dan bukan ditawarkan apa-apa jenis pekerjaan sebagai ejen panggilan palsu.

“Mereka diculik dan apabila tiba di kawasan sindiket, mangsa langsung tidak dilatih pun jadi ‘scammer’ namun dipaksa menelefon keluarga untuk minta wang tebusan,” katanya.

Sebahagian besar keluarga mangsa itu ujar beliau, sudah membayar kepada sindiket itu tetapi kemudian kecewa ditipu kerana anak mereka tidak dilepas sebagaimana dijanjikan.

Modus operandi baharu itu terbongkar apabila ramai keluarga mangsa akhirnya memohon bantuan MHO dan terkejut sebab dimaklumkan tiada kos untuk pembebasan sedemikian.

Paling pelik kata Hishamuddin, mereka mendedahkan ada juga seorang individu tempatan yang mendakwa kononnya boleh menyelamatkan mangsa tetapi dikenakan bayaran pula.

“Padahal apa yang berlaku, mereka kemudiannya menyedari ditipu kerana sebenarnya tiada caj perlu dibayar kepada askar Thailand dan upah sebagainya,” jelas beliau agak kesal.

Selain itu, sindiket berkenaan ujarnya, beralih dengan cuma menyasarkan mangsa kaum Cina kerana beranggapan keluarga etnik tersebut mampu bagi melunas bayaran tebusan.

Begitu juga dari segi demografi apabila MHO mendapati, hampir semua mangsa berasal dari Sabah dan Sarawak ekoran kurangnya pendedahan maklumat isu jenayah berkenaan.

Justeru, Hishamuddin memberi amaran tegas bahawa pihaknya tidak pernah berkompromi dengan sindiket tersebut apatah lagi meminta bayaran bagi misi menyelamatkan mangsa.

“MHO ada cara tersendiri dan kami tidak sekali-kali melanggar undang-undang sama ada di Malaysia atau di negara luar apatah lagi bersekongkol dengan penjenayah,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya