KUALA KRAI: Perkhidmatan feri yang sebelum ini menjadi ‘nyawa’ kepada penduduk di Kampung Pasir Kelang di sini terpaksa dihentikan akibat arus deras dan peningkatan paras air Sungai Kelantan sejak beberapa hari lalu.
Ekoran itu, perkhidmatan bot penambang terpaksa digunakan untuk menggantikan feri bagi memastikan urusan harian penduduk tidak tergendala.
Pembantu pemandu bot, Wan Azhar Wan Hamad,45, berkata, perkhidmatan feri milik Koperasi Pasir Kelang Berhad itu terpaksa dihentikan buat seketika atas faktor keselamatan berikutan arus sungai yang agak deras ketika ini.
“Paras air sungai semakin naik serta arus yang agak deras ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu. Kita menggantikan khidmat feri ini dengan bot penambang yang hanya mampu membawa lima hingga 10 penumpang dalam satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Pasir Era di sini semalam.
Wan Azhar memberitahu, dia perlu berulang-alik sebanyak 50 kali perjalanan untuk membawa penumpang menyeberangi sungai setiap hari dengan menggunakan bot penambang.
“Kita beroperasi bermula seawal 7 pagi sehingga 10 malam untuk membawa penduduk di beberapa kampung menyeberangi sungai dengan jarak antara satu jeti ke satu jeti adalah kira-kira 150 meter,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Azhar turut mengakui tugasnya bersama rakannya sebagai pemandu bot agak berisiko terutama ketika berhadapan dengan arus sungai yang deras ketika musim tengkujuh.
Katanya, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian yang tidak diingini termasuk menyediakan jaket kaselamatan kepada penumpang.
Sementara itu, seorang penduduk, Rosdi Ismail,58, berkata, dia perlu menggunakan perkhidmatan feri sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan hemodialisis kerana menghidappenyakit buah pinggang di Hospital Sultan Ismail Petra,Kuala Krai.
“Perkhidmatan ini menjadi satu-satunya pilihan penduduk untuk menyeberangi sungai memandangkan ketiadaan jambatan,” ujarnya. –UTUSAN










