NEW JERSEY: Pengendali Norway, Stale Solbakken, mengakui beberapa pemainnya mula mengalami masalah kesihatan menjelang aksi suku akhir Piala Dunia menentang England pada Sabtu ini.
Menuurt Solbakken, ada pemainnya ketika ini berdepan kelesuan dan keletihan akibat jadual padat selepas sebulan berlangsungnya Piala Dunia 2026.
Menurut Solbakken, penyerang Jorgen Strand Larsen adalah antara pemain yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan.
“Setakat ini hanya Jorgen yang demam, tetapi ada juga beberapa pemain lain yang batuk dan kurang sihat.
“Penyaman udara, penerbangan, bilik persalinan dan pelbagai faktor lain menyumbang kepada masalah ini.
“Dalam rombongan seramai 50 orang, memang pelik jika tiada seorang pun yang jatuh sakit,” kata Solbakken.
Sementara itu, pertahanan Marcus Holmgren Pedersen terlepas aksi kemenangan 2-1 ke atas Brazil pada pusingan 16 terbaik akibat masalah kesihatan.
Bagaimanapun, Solbakken percaya tekanan beraksi di pentas Piala Dunia turut memberi kesan kepada pemain berusia 25 tahun itu.
“Saya bukan doktor, tetapi saya rasa ia gabungan beberapa faktor. Dia masih muda. Datang ke Piala Dunia dengan jangkaan hanya menjadi pemain simpanan kepada Julian (Ryerson), tetapi akhirnya beraksi dalam dua perlawanan dan bermain dengan cemerlang.
“Dia menerima terlalu banyak rangsangan dalam tempoh singkat. Fikirannya penuh dengan pelbagai pengalaman baharu dan tubuhnya juga menerima beban yang besar, jadi sistem badannya sedikit terganggu,” katanya.- AGENSI










