SEGAMAT: Seorang penduduk di Kampung Seberang Batu Badak dekat sini membina loteng di rumahnya bagi persediaan banjir yang kerap melanda kampung itu.
Menurut Mohammad Yahya, 50, kedudukan rumahnya hanya 12 meter dari tebing Sungai Segamat menyebabkannya membina loteng itu.
“Tahun ini sudah tiga kali rumah dinaiki air sehingga harta benda rosak. Seumur hidup sekurang-kurangnya 45 kali banjir besar dan banjir termenung sudah saya lalui.
“Pengalaman terburuk pada 2015 dan awal Januari lalu apabila rumah saya ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Katanya, setiap kali hujan beberapa hari dan keadaan paras air sungai meningkat, dia bersama ibu dan tiga beradik akan mula berkemas.
“Kami akan memindahkan semua barangan penting ke ruangan loteng yang dibina khas di bahagian sebelah rumah.
“Ruangan loteng inilah alternatif utama penyelamat barangan penting kami setiap kali berlakunya banjir di kampung ini,” katanya yang merupakan seorang nelayan sungai.
Ibunya, Maheran Adon, 78, berkata, rumah mereka sentiasa menjadi antara yang terawal dinaiki air dan terakhir surut di kampung itu akibat banjir termenung.
“Keluarga saya pernah mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) selama sebulan pada banjir besar 2015 dan sebanyak tiga kali dalam setahun. Semasa banjir besar 2015 dan awal Januari lalu, saya terperangkap di dalam rumah sebelum diselamatkan anggota bomba dan polis,” katanya. – UTUSAN










