Azeem tidak kenal penat, rangkul emas 100m

Azeem tidak kenal penat, rangkul emas 100m

AZEEM Fahmi (tiga dari kanan) meraikan kejayaannya memenangi pingat emas 100m dalam Terbuka Malaysia di Stadium UPM, hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi membuktikan dirinya sukar digugat apabila berjaya menjuarai acara 100 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium UPM, hari ini.

Lebih mengagumkan, kejayaan itu diraih Azeem yang hanya tiba di ibu negara dari Amerika Syarikat (AS), Selasa lalu selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Auburn.

Dalam saingan tersebut, Azeem mewakili Perak menamatkan lariannya dengan catatan masa 10.21 saat (s) menewaskan Muhammad Airiel Iskandar Rusi dari Johor (10.34s) dan gangsa milik wakil Terengganu, Mohammad Armin Zahryl Abdul Latif (10.43s).

Mengulas lanjut, Azeem mengakui berasa gembira dapat menamatkan lariannya di hadapan ibu bapa serta ahli keluarganya selepas kali terakhir dia melakukannya pada 2024.

“Itulah sebenarnya motivasi saya untuk berlari pada hari ini dan cuba untuk tidak menghampakan sesiapa. Jadi saya berikan segalanya yang saya ada pada hari ini.

“Bagi saya sebenarnya saya tidak menyasarkan apa-apa catatan yang pantas pun pada hari ini sebab saya tahu badan saya masih lagi penat. Saya baru sahaja habis daripada NCAA kurang daripada lima hari dan baru sahaja sampai Malaysia pada Selasa lalu.

“Sudah tentu badan saya masih lagi berasa sangat penat dan juga belum pulih sepenuhnya lagi.

“Tapi saya sangat bersyukur dapat berlari di hadapan penyokong sendiri. Ramai orang yang datang hari ini untuk beri sokongan dan saya sangat berterima kasih kepada setiap individu yang datang hari ini dan memberi sokongan bukan sahaja kepada saya tetapi kepada seluruh atlet yang bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Itu merupakan kejuaraan kali ketiga pelari berusia 22 tahun itu memenangi Terbuka Malaysia selepas melakukannya pada 2022 dan 2024.

Sementara itu, dalam saingan 100m wanita pula menyaksikan pingat emas menjadi milik Nur Aishah Rofina Aling selepas atlet dari Sabah itu melakukan catatan masa 11.70s.

AISHAH Rofina (tiga dari kanan) muncul pelari terpantas dalam acara 100m wanita.

Pingat perak pula dimenangi Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira selepas ketinggalan 0.01s manakala gangsa milik Fatin Ilyana May Nayan dari Malaysia University (12.03s).

“Saya sangat gembira dengan catatan hari ini kerana saya menunggunya hampir enam bulan dan bukan mudah untuk mendapatkan catatan ini,” kata Aishah yang berjaya memperbaharui catatan peribadi terbaiknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN