Bila sudah toksik dan negatif, begitulah manusia - Beto Kusyairy - Utusan Malaysia

Bila sudah toksik dan negatif, begitulah manusia – Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat kepada kesungguhan dan kerancakan rakyat Malaysia menzahirkan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis pada waktu ini, ia sememangnya satu tindakan yang wajar dipuji ramai. 

Realiti itu turut disokong oleh pelakon, Beto Kusyairy, yang mengakui kagum dengan kebersatuan semangat orang kita dalam isu kemanusiaan di Palestin apatah lagi perkara itu turut mendapat perhatian masyarakat dunia.

Bagaimanapun, dalam bersolidariti, ada kelaku yang tidak begitu cantik ditonjolkan oleh segelintir masyarakat terutama ketika mereka menjadi pengguna media sosial. 

Bercakap menerusi pengalaman sendiri, kata Beto, ia terserlah semasa dirinya terlibat dalam satu kemalangan di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Tergamak benar beberapa pihak mengutuk tindakannya menyertai pasukan konvoi motosikal Solidariti Wings Motogang walaupun umum tahu apa tujuan asalnya.

“Soal persepsi ini kita gak boleh nak puaskan hati semua orang. Memang mustahil na puaskan hati semua orang. Masa saya kemalangan baru-baru ini, orang tak tahu cerita sebenar. 

“Bila keluar artikel di pelbagai platform media, orang kutuk kata saya suka-suka pergi berkonvoi. Ada yang salahkan jalan licinlah dan tanya kenapa nak ikut konvoi dalam hujanlah? 

“Ada yang tanya kenapa nak solat hajat sampai ke Ipoh walhal boleh solat hajat di rumah saja? Nak tunjuk kepada Allah atau manusia? 

“Pendek kata macam-macam yang saya kena walaupun orang tahu tujuan asal saya sertai konvoi itu untuk solidariti Palestin,”katanya. 

Akui pelakon berusia 43 tahun ini, sukar untuk dirinya memberikan penjelasan secara terperinci berhubung kemalangan yang berlaku memandangkan kes itu masih berada dalam siasatan pihak polis.

“Disebabkan itu, orang tak tahu cerita sebenar. Tak akanlah kita nak jelaskan semua benda kepada umum? Jadinya, dari situ kita boleh lihat, bila dah toksik, dah negatif minda dan hati mereka, kita pun tak boleh nak buat apa.

“Memang begitulah manusia, akan ada sahaja benda yang tak puas hati. Tapi saya mengambil pendekatan untuk ‘lantakkan’ saja. Sebab yang penting niat kita baik.

“Kita nak bersolidariti, nak tunjuk kita tak setuju dengan apa yang terjadi di Palestin. Ini (aktiviti konvoi solidariti dan solat hajat)  usaha kecil yang kita boleh buat untuk bantu uar-uarkan pada semua,”katanya.

Selain itu, Beto yang bakal tampil dengan filem MagiK, sukar untuk meramal sejauh mana penonton di Malaysia kini mahu memberi sokongan terhadap industri perfileman tempatan.

Ini kerana, menerusi situasi semasa dan juga kerana solidariti, ramai menganggap industri hiburan terlihat lebih tidak bermanfaat dan mendatangkan mudarat kepada minda masyarakat. 

“Kalau ditanya sejauh mana keyakinan saya mengenai sambutan orang ramai terhadap filem ini, saya tak boleh nak cakap juga sebab dalam keadaan sekarang yang mana orang sedang bersolidariti, jadi mungkin orang ramai kurang fikirkan mengenai hiburan.

“Ia akan ada persepsi. Bila tengok orang pergi pawagam tonton filem, tengok orang lain bergembira ramai fikir kita lupa pada apa yang terjadi di Palestin. 

“Saya tak fikir orang yang sedang bergembira itu lupa pada isu semasa. Tak akanlah kita sampai tak boleh nak buat aktiviti sendiri bukan? Macam filem MagiK ini, memang tarikh tayangannya pada waktu ini jadi kita akur sajalah.

“Bagaimanapun saya tetap mengharapkan sokongan peminat dan penonton filem tempatan untuk filem ini. Pada masa yang sama, kita semua sama-sama tak lupakan saudara Islam di Palestin,”katanya. 

Filem MagiK merupakan sebuah karya di bawah pengarahan pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka yang akan memulakan tayangannya pada 30 November 2023.

Selain Beto, Filem magiK, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik dan Qisya Hairulzain.

Memaparkan Kit, gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip. Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya yang bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.

Ibu mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana dia lebih cenderung untuk hidup dalam dunianya yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan seekor kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya, berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya