Belajawan Terengganu bukan gula-gula PRK Kemaman - Utusan Malaysia

Belajawan Terengganu bukan gula-gula PRK Kemaman

PERSIDANGAN DUN Terengganu akan berlangsung selama empat hari bermula semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Belanjawan Terengganu 2024 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam bukan bajet yang boleh dijadikan gula-gula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Razali Idris berkata, belanjawan tersebut didapati tidak memperincikan secara tepat mengenai peruntukan kewangan yang digunakan dalam mana-mana portfolio.

Malah, beliau menegaskan, Ahmad Samsuri juga mengambil langkah bijak dan selamat tidak mengumumkan imbuhan khas bonus kepada penjawat awam di Terengganu untuk tahun ini.

“Ahmad Samsuri adalah calon Pas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dan beliau tidak menggunakan Belanjawan Terengganu 2024 sebagai gula-gula pilihan raya (PRK Parlimen Kemaman).

“Sudah pastilah, UMNO juga tidak mempunyai ‘modal’ untuk menghentam Ahmad Samsuri pada PRK kali ini, apatah lagi beliau memang tidak ada sebarang kes rasuah sebelum ini.

“Ini adalah pertama kali  pembentangan Belanjawan oleh Menteri Besar yang tidak memperincikan peruntukan tertentu sebaliknya ia akan dimaklumkan secara pentadbiran selepas ini,” katanya ketika ditemui pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Tambahnya, tindakan Ahmad Samsuri itu telah melakar satu sejarah baharu yang menampilkan keberanian Menteri Besar sebagai calon PRK di Parlimen Kemaman dan beliau adalah calon yang berhak diangkat sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, pihaknya telah menyediakan pelan kontigensi untuk memastikan pengundi tetap keluar walaupun hujan melanda Kemaman pada hari pengundian Sabtu ini.

“Kita dah ada pengangkutan serta jentera yang akan digerakkan nanti…kita juga dah kenal pasti mana lokasi yang berisiko banjir pada Sabtu ini.

“Kita jangkakan jumlah peratusan keluar mengundi tidak banyak berubah dengan pilihan raya yang lalu namun tidak kurang 80 peratus.

“Paling penting adalah untuk memastikan pengundi luar Kemaman pulang mengundi pada 2 Disember ini,  insya-Allah, jumlah undi sebelum ini akan kekal dan kita sasarkan untuk mendapat lebih 30,000 majoriti undi kali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya