SERDANG: Kemasukan motosikal buatan China dalam jumlah besar di pasaran tempatan memberi peluang kepada pengguna dengan bajet kecil untuk memiliki jentera dua roda impian setanding malah ada yang lebih baik daripada pengeluar negara-negara lain.
Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce), Asri Ahmad berkata, pengguna dapat membuat keputusan untuk membeli model-model motosikal baharu dilengkapi teknologi terbaharu yang selama ini mungkin terbantut berikutan harga pasaran terlalu tinggi.
“Itu sebab kita bawa masuk model-model pelbagai varian dengan spesifikasi terkini pada harga berbaloi supaya rakyat Malaysia berpeluang merasai motosikal idaman. Ini misi kita.
“Contohnya, pelancaran kita hari ini (semalam) ada skuter besar, skuter kecil, easy rider, adventure,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Selain itu, jelasnya, pelbagai model yang boleh ditawarkan kepada pengguna juga membantu pengedar-pengedar untuk meneruskan kelangsungan perniagaan dalam suasana ekonomi mencabar pada masa kini.
Asri sebelum itu melancarkan 16 model motosikal baharu pelbagai segmen di bawah edaran Mforce sempena Pameran Motosikal Malaysia (MBS) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sehingga esok.
Model-model tersebut ialah Vizy 125, C252V dan SC 200SR keluaran Morbidelli; Touch dan Gobi (Ariic); RT25 dan RT5 (Cyclone) serta Moucca 250 dan 625V (Brixton).
Selain itu, Husky 200 (Sym); 750 SR-S dan 1000 MT-X (Cfmoto); SR 450X, DS 625X dan DS 800X (Voge) serta Griffin 205 (Wmoto).
Kesemua model berharga antara RM4,988 hingga RM51,888 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran. – UTUSAN










