Bekas pengarah syarikat tidak mengaku 11 pertuduhan pecah amanah - Utusan Malaysia

Bekas pengarah syarikat tidak mengaku 11 pertuduhan pecah amanah

SEORANG bekas pengarah syarikat menjual barangan elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini atas 11 tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM46,000. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang bekas pengarah syarikat menjual barangan elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM46,000.

Tertuduh, Wong Yie Hang, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 11 pertuduhan terhadapnya dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid dan Mohammad Khalid Ab. Karim.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Yie Hang sebagai seorang pengarah syarikat dengan curangnya melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang jualan beberapa buah peti sejuk kepada sebuah syarikat swasta yang keseluruhannya berjumlah RM46,000 bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara tahun November 2019 hingga September 2021 di sebuah pejabat di Wisma Seri Perak, Jalan Perak di sini, antara pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Yie Hang yang kini bekerja sebagai juruteknik dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Najihatul Idayu Mohd. Azuyar dan S. Preeya Darrsini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Najihatul Idayu Mohd. Azuyar meminta mahkamah menawarkan wang jaminan berjumlah RM6,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM8,000 bagi tiga pertuduhan manakala RM6,000 untuk dua pertuduhan.

Selain itu, Mazdi turut menetapkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding mahkamah dijalankan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan di mana tertuduh dituduh dengan enam pertuduhan berasingan, Preeya memohon tiada jaminan dikenakan terhadap tertuduh dan sekiranya dibenarkan hendaklah pada jumlah yang tinggi.

Peguam yang mewakili tertuduh, Md. Yusuf Md. Idris meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan ia bukan bertujuan menghukum tertuduh, namun untuk memastikan kehadiran tertuduh.

Hakim Mohammad Khalid kemudian membenarkan jaminan berjumlah RM6,000 untuk semua pertuduhan berserta seorang penjamin serta syarat tambahan yang sama.

Secara keseluruhannya wang jaminan yang ditetapkan untuk tertuduh bagi 11 pertuduhan kes pecah amanah tersebut ialah RM20,000.

Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya