Bapa, anak disyaki 'transporter' ditahan dengan dadah lebih setengah juta ringgit - Utusan Malaysia

Bapa, anak disyaki ‘transporter’ ditahan dengan dadah lebih setengah juta ringgit

V. SARAVANAN (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan menerusi Ops Tapis semalam dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki tempatan termasuk seorang bapa dan anak kerana disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ sindiket dadah menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di Air Itam dan Sungai Ara, di sini semalam.

Dalam operasi bermula pukul 1.15 pagi hingga 3 pagi itu, polis turut merampas dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang keseluruhannya bernilai RM559,156.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, kegiatan tiga individu berusia 19 hingga 52 tahun yang disyaki aktif sebagai ‘transporter’ sindiket dadah sejak September lalu itu dibongkar menerusi Ops Tapis.

“Dalam operasi ini kita menjalankan dua serbuan yang mana serbuan pertama di tepi jalan di kawasan Air Itam, dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 52 dan rakannya berusia 44 tahun ditahan.

”Kedua-duanya berada di dalam sebuah kereta jenis BMW dan di dalam kereta ini polis menjumpai sejumlah dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini hari ini.

ANTARA dadah yang dirampas polis daerah Timur Laut dalam dua serbuan menerusi Ops Tapis di sekitar Pulau Pinang semalam.

Menurutnya, susulan penahanan dua suspek itu, polis menyerbu sebuah apartment di Sungai Ara dan menahan seorang suspek lelaki berusia 19 tahun iaitu anak kepada suspek pertama berusia 52 tahun.

“Suspek berusia 19 tahun ini masih belajar di sebuah institut pengajian tinggi swasta di pusat bandar dan ketika serbuan dijalankan dia berada di rumah seorang diri.

”Di dalam rumah yang disewa ini, polis menjumpai pelbagai jenis dadah dan kita percaya rumah ini dijadikan stor penyimpanan dadah,” katanya.

Tambah beliau, polis turut merampas pelbagai jenis dadah di rumah itu antaranya 40 bungkusan heroin seberat 17.83 kilogram (kg) bernilai RM147,989; 40 bungkusan ganja seberat 37.6kg bernilai RM116,833 dan lapan bungkusan dadah syabu seberat 8.2kg bernilai RM20,764.

Turut dirampas, ujar beliau, satu paket plastik dadah syabu seberat 103.8 kg bernilai RM20,764 yang mana dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

Saravanan berkata, siasatan polis mendapati suspek akan menerima tempahan dadah daripada pelanggan sebelum menghantar bekalan dadah itu.

”Polis percaya terdapat lagi ahli sindiket ini dan kita masih menyiasat dari mana mereka memperoleh bekalan dadah.

”Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah manakala suspek berusia 19 tahun negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis juga menyita sebuah kereta jenis BMW serta wang tunai berjumlah RM1,100 dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

”Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya