GEORGE TOWN : Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) menunjukkan kemajuan terkini apabila kerja-kerja awalan bagi Pakej 1 yang bermula sejak Oktober lalu telah berjaya disiapkan.
Kerja-kerja awalan itu melibatkan kerja-kerja seperti menaiktaraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat (KM135.15–KM135.4) serta pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn (KM133.5–KM134.5).
Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), ketika ini, kerja-kerja pengalihan utiliti, geoteknikal dan lain-lain sedang giat dijalankan di tapak projek.
Katanya, sehingga pertengahan April lalu, kerja-kerja yang telah dilaksanakan merangkumi beberapa aktiviti teknikal seperti Ukur Topografi atau Topography Survey, Pemetaan Pengesanan Utiliti (Utilities Detection Mapping), Penyiasatan Tanah (Soil Investigation), Kajian Keadaan Struktur Sedia Ada (Dilapidation Survey) serta Kerja Perintisan (Piloting).
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan asas pelaksanaan projek berada pada landasan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, kerja-kerja pengalihan utiliti yang sedang giat dilaksanakan ketika ini pula telah mencapai kemajuan sebanyak 55 peratus hasil koordinasi yang baik di antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS bersama beberapa agensi utiliti utama termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta TIME dotCom Berhad.
“Seiring dengan itu, kerja-kerja geoteknikal turut dilaksanakan di lokasi projek melibatkan pemasangan Saliran Menegak Prafabrikasi atau Prefabricated Vertical Drain (PVD) dan Surcaj, pemasangan Tambak Cerucuk (Pile Embankment) serta Cerucuk Ujian Awal (Preliminary Test Pile atau PTP).
“Turut dilaksanakan ialah penyediaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) serta kerja-kerja pemecahan saliran sedia ada bagi memudahkan pelaksanaan kerja pembinaan seterusnya,” kata kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, PTJSD merupakan projek berimpak tinggi yang dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur yang mampan dan memberi manfaat kepada rakyat sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di koridor Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang yang merupakan antara laluan paling sibuk di Lebuhraya Utara–Selatan ketika ini.
Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka bukan sahaja mampu meningkatkan kelancaran aliran trafik, malah, memendekkan masa perjalanan pengguna lebuh raya selain menyokong pembangunan ekonomi yang berterusan di Pulau Pinang dan kawasan utara Semenanjung.-UTUSAN










