BUTTERWORTH : Seorang penganggur mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 500 liter diesel tanpa lesen, bulan lepas.
Tertuduh, Heah Ban How, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh seorang jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memiliki barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu diesel sebanyak 556.5 liter dalam tangki bahan api yang diubah suai pada lori jenama Hino dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah syarikat yang beralamat di Jalan Besar, Chong Nam Estate Valdor, Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan (SPS) kira-kira pukul 2 petang, 29 April lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara runcit atau borong tanpa lesen selain didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya pula, tertuduh juga boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Preeya Darrsini dan Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah.
Ketika prosiding, Preeya menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, namun, lelaki tersebut yang tidak diwakili peguam memohon agar wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan perlu menanggung ibunya yang sudah uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu lantikan peguam serta laporan kimia yang berkaitan.-UTUSAN










