Banjir: Tiga sekolah di Kuala Terengganu ditutup - Utusan Malaysia

Banjir: Tiga sekolah di Kuala Terengganu ditutup

KEADAAN banjir di pekarangan SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir yang melanda daerah ini hari ini turut menyebabkan tiga sekolah dinaiki air dan sesi pembelajaran terpaksa ditukar kepada mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tiga sekolah yang terjejas banjir di daerah ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Losong dan SK Tok Dir.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata, kawasan sekolah tersebut telah dinaiki air dan menyebabkan ramai murid tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa.

“Oleh itu pihak pengurusan telah memutuskan untuk tidak membenarkan murid-murid hadir ke sekolah yang terjejas kerana isu keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, semua guru dan murid yang terlibat akan belajar seperti biasa melalui mod PdPR.

“Jabatan juga sedang memantau perkembangan terkini di sekolah-sekolah yang lain kerana hujan masih melanda di beberapa daerah di Terengganu dan sebarang perubahan akan dimaklumkan segera kepada ibu bapa untuk tindakan mereka,” katanya.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Malik dan SK Wakaf Mempelam mendapati ia turut dinaiki air.

Bagaimanapun, Azman berkata, proses pembelajaran masih berjalan seperti biasa dan murid serta pelajar dipindahkan ke kelas berlainan.

Beberapa ibu bapa di sekolah yang lain pula mengakui mereka terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk disebabkan jalan ke sekolah dinaiki air.

Seorang suri rumah, Azila Aisya Halim, 42 berkata, dia yang tinggal di Tok Jembal, Kuala Nerus terpaksa mencari dua laluan alternatif untuk menghantar anaknya ke SK Sultan Sulaiman pagi tadi.

“Jalan yang saya biasa lalui sesak teruk kerana dinaiki air menyebabkan saya cuba menggunakan laluan lain namun masih gagal ke sekolah kerana kesesakan luar biasa.

“Mujurlah guru kelas anak maklumkan murid dibenarkan datang lewat sedikit dari kebiasaan kerana banjir dan murid yang tidak dapat hadir kerana terjejas banjir perlu maklumkan situasi mereka untuk pengetahuan guru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya