KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kurikulum baharu antara perancangan yang akan dipertahankan, meskipun langkah penjimatan bakal dilaksanakan kerajaan menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebarang pemotongan bajet tidak akan menjejaskan program-program utama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) seperti aspek kebajikan murid dan penyelenggaraan sekolah.
Beliau berkata, kementerian akan memastikan penjimatan yang dilakukan tidak mengganggu keutamaan yang memberi kesan langsung kepada murid dan sekolah.
Beliau berkata, antara program yang akan diteruskan adalah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang penting dalam memastikan keperluan nutrisi murid terus terpelihara.
“Dalam beberapa aspek sebenarnya, kita tidak mahu rakyat berasa risau dan gusar kerana daripada sudut penjimatan itu, ia tidak melibatkan perkara-perkara besar di peringkat KPM.
“Sebagai contoh RMT, kita pertahankan dan ia akan terus diteruskan kerana masih penting dalam konteks isu nutrisi anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan mengambil kira pelbagai langkah penjimatan melibatkan semua kementerian termasuk KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Bagaimanapun, Anwar menegaskan aspek kualiti pendidikan dan kemudahan asas di sekolah serta institusi pengajian tinggi tidak akan dikompromi, meskipun langkah pengurusan fiskal yang lebih berhemah dilaksanakan.
Fadhlina berkata, usaha membaik pulih sekolah daif serta kerja-kerja penyelenggaraan akan diteruskan seperti biasa kerana ia merupakan komitmen berterusan kementerian bagi memastikan sekolah berada dalam keadaan kondusif dan selamat.
“Sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan masih diteruskan kerana kita mahu ia menjadi sebahagian daripada gerak kerja yang konsisten untuk memastikan sekolah kondusif dan khususnya selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan pelaksanaan kurikulum baharu yang dijadual diperkenalkan tahun hadapan akan berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Katanya, KPM akan sentiasa menilai pelaksanaan langkah penjimatan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tidak menjejaskan agenda pendidikan negara. – UTUSAN










