KUALA LUMPUR: Polis akan menempatkan anggotanya di 122 buah sekolah menengah di ibu negara bagi memperkukuh penguatkuasaan dan memastikan pelajar mematuhi undang-undang jalan raya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, selain itu, polis juga akan menjalankan pemeriksaan termasuk semakan lesen memandu dan ujian air kencing terhadap pelajar yang dikenal pasti mengikut keperluan.
Katanya, polis akan menyasarkan pelajar yang mana perlu dilakukan saringan air kencing dan ia melibatkan semua sekolah menengah di Kuala Lumpur termasuk swasta.
Menurut Fadil, inisiatif itu akan dijayakan oleh anggota polis daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.
“Jika sebelum ini polis trafik jarang berada di sekolah, selepas ini mereka akan ditempatkan di sekolah-sekolah bagi menjalankan pemeriksaan terhadap pelajar termasuk semakan lesen memandu.
“Mereka juga akan memberikan penerangan dan pendidikan mengenai pematuhan undang-undang lalu lintas,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, di sini semalam.
Terdahulu, dalam ucapannya, Fadil berkata, program itu sebahagian daripada usaha berterusan Polis Kuala Lumpur untuk mendidik masyarakat menghormati undang-undang bermula dengan pematuhan peraturan lalu lintas.
Beliau berkata, sejak 1 Oktober tahun lalu, Polis Kuala Lumpur melaksanakan Op Patuh Undang-undang (Op PUU) di seluruh pentadbirannya termasuk Putrajaya bagi memupuk budaya menghormati undang-undang dalam kehidupan seharian pelajar dan masyarakat.
Menurutnya, sebanyak 41 tangkapan membabitkan pelajar sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi direkodkan bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 58 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Pendekatan advokasi itu memberi fokus kepada pendidikan berterusan supaya pelajar lebih menghormati undang-undang jalan raya, selain melahirkan generasi yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN










