Banjir: Pindah segera sekiranya cuaca buruk berterusan  - Utusan Malaysia

Banjir: Pindah segera sekiranya cuaca buruk berterusan 

MAZLI Mazlan (dua dari kanan) melawat mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini.- UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penduduk di lokasi terjejas dan berisiko banjir di seluruh Terengganu dinasihatkan berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika cuaca buruk berterusan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, walaupun banjir yang melanda daerah ini dan Kuala Terengganu kini terkawal, namun dijangka berlaku pertambahan mangsa dalam masa terdekat.

Menurut beliau, langkah berpindah segera ke PPS yang disediakan perlu diambil bagi mengelak berlaku insiden membahayakan nyawa sekiranya mangsa banjir mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Buat masa ini bencana banjir hanya melanda Kuala Nerus dan Kuala Terengganu manakala daerah lain termasuk Kemaman dan Besut juga masih dalam keadaan terkawal.

“Namun kita menjangkakan berlaku peningkatan mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke PPS dan anggota medan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diaktifkan bagi membantu agensi lain.

“Penduduk terutama di kawasan berisiko dinasihatkan berhati-hati dengan cuaca semasa dan tidak berpindah pada saat akhir bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Mazli turut mengingatkan kepada ibu bapa atau penjaga agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan anak-anak kecil bagi mengelak kejadian meragut nyawa.

Selain itu katanya, orang ramai turut dinasihat mengurangkan pergerakan dengan tidak keluar rumah tanpa urusan penting susulan penutupan beberapa jalan di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu.

Menurut beliau, anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi mengawal lalu lintas dan memantau perkembangan semasa.

“Ada beberapa laluan yang ditutup untuk kegunaan kenderaan ringan namun jika keadaan semakin memburuk dalam masa terdekat, kita akan tutup untuk semua jenis kenderaan.

“Begitu juga dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menularkan gambar bencana yang tidak benar, kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” ujarnya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.