Bahasa Melayu yang dinamik - Utusan Malaysia

Bahasa Melayu yang dinamik

Peserta peringkat akhir dan pemenang bergambar dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA had dalam berbahasa Melayu. Penggunaannya ada dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
Bahasa Melayu adalah bersifat dinamik. Sifatnya yang berkembang, menjadikan ia berperanan penting dalam usaha serta langkah membangunkan dan memajukan bangsa.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor, bahasa Melayu adalah sama dengan sains dan teknologi yang sentiasa berkembang.
Justeru, penciptaan dan kewujudan serta penggunaan segala istilah dalam sains dan teknologi juga adalah tetap berkait rapat dengan bahasa.
“Masyarakat di negara kita mungkin tidak begitu menyedari bahawa istilah dalam sains dan teknologi yang ada pada masa kini, sebenarnya, sudah lama lengkap dan sempurna diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke dalam bahasa Melayu,” katanya pada majlis penutupan Sayembara Deklemasi Puisi Sains dan Teknologi Peringkat Kelantan, di Kota Bharu, baru-baru ini.
Katanya, bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa ilmu yang memudahkan semua pihak.
Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Negeri dan Jabatan Pendidikan itu dihadiri lebih 200 orang.
Ia adalah penganjuran sulung bagi tema sains dan teknologi yang menggantikan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan sejak 2001.
Peringkat saringan dilakukan secara di dalam talian bernula 25 September lalu sehingga 30 Oktober.
Penerimaan penyertaan seramai hampir 200 orang di peringkat saringan melalui penghantaran rakaman video deklamasi puisi bagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, dan Terbuka adalah merupakan puisi-puisi yang dipilih daripada buku Antologi Puisi Sains dan Teknologi 2023 ‘Bagaimana Sekiranya Epal Bertanya’, terbitan GEMA (2023).
Sementara itu Pengarah DBPWT, Ariza Che Ismail dalam ucapannya, turut menyokong usaha pelestarian deklamasi puisi dalam kalangan generasi pelbagai peringkat di Kelantan pada tahun ini yang berjaya menarik penyertaan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan individu tempatan yang berbakat.
Dalam sayembara itu, Mukhtar Muhiddin dinobatkan sebagai Johan Kategori Terbuka dengan memenangi wang tunai RM600, diikuti oleh Nur Fatin Izzati Zakaria sebagai Naib Johan dengan wang tunai RM450 dan Nik Fateeha Syuhada Imran di tempat ketiga yang menerima RM300.
Johan kategori Sekolah Menengah pula dirangkul oleh Naeema Natasya Puteri Mohd. Ghazali dari SMK Pengkalan Chepa yang menerima RM400, piala dan sijil. Naib Johan dengan wang tunai RM300 dimenangi Nur Wafa Aishy Muhammad Zuhairi dari SMKA Melor, dan tempat ketiga diraih oleh Muhammad Zaffran Zulkifli dari SMK Tengku Indera Petra yang menerima RM200.
Kategori Sekolah Rendah, diungguli oleh Nur Izzatul Rania Mohd. Shukri dari SK Paloh 3, Gua Musang manakala Naib Johan ialah Tuan Nur Adni Qaisara Tuan Nazir dari SK Raja Bahar dan Mohd. Bukhari Mohd. Ilman dari SK Buloh Poh di tempat ketiga. Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM250, RM200 dan RM150 beserta piala dan sijil.
Peserta dengan jumlah perkongsian terbanyak dari Facebook GEMA dipilih bagi memenangi Hadiah Khas Juri Awam yang membawa pulang RM100 dan sijil bagi setiap kategori. Penerimanya ialah Amy Suzani Mohd. Ainuddin (Terbuka), Naeema Natasya Puteri Mohd. Ghazali (Sekolah Menengah), dan Nur Rania Humayraa Mazlan (Sekolah Rendah).
Kehadiran juara deklamasi puisi peringkat kebangsaan iaitu Siti Nurzafran Zainal Abidin dan Aminuddin Mamat serta Mohd. Zizee Setapa selaku juri di peringkat akhir telah memeriahkan lagi sesi pentas akhir sayembara ini.

Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik ialah Pensyarah Kanan di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.