MB Johor wajar campur tangan isu cukai tinggi MBPG

ANALISIS: MB Johor wajar campur tangan isu cukai tinggi MBPG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pun reda isu berkaitan kompaun parkir kenderaan di hadapan rumah yang bakal dilaksanakan mulai tahun depan, kini Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sekali lagi menjadi tumpuan ramai, khususnya penduduk di Pasir Gudang.

Kali ini penduduk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka apabila MBPG bakal menaikkan cukai harta mulai tahun depan antara 40 hingga 50 peratus.

Bukan membantah keputusan tersebut, namun penduduk menyifatkan kadar kenaikan itu terlalu tinggi ketika ramai rakyat yang terkesan ekoran pelnagai peningkatan dalam kos hidup, khususnya harga barangan.

Ada asasnya bantahan itu kerana kadar kenaikan tersebut terlalu tinggi, sekali gus memberi impak besar terhadap kos sara hidup penduduk, khususnya golongan B40 dan M40.

Jika dibandingkan dengan kadar kenaikan cukai yang bakal dikenakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) antara 8 hingga 11 peratus, nyata kadar kenaikan yang dikenakan MBPG sehingga mencecah lima kali ganda.

Walaupun MBPG ada hak untuk menaikkan kadar tersebut kerana tidak dilakukan sejak beberapa tahun lalu, namun tidak seharusnya sehingga mencecah 50 peratus.

Mungkin munasabah jika kenaikan itu antara 10 hingga 15 peratus. Insya-Allah, kadar itu boleh diterima oleh para penduduknya.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan sokongan terhadap tindakan penduduk yang membantah kadar kenaikan terlalu tinggi itu.

Beliau secara terbuka meminta penduduk menyatakan bantahan besar-besar dan berjanji membangkitkan isu itu dalam.pertemuan dengan Menteri dan Timbalan Menteri Perumahan Pembangunan Kerajaan Tempatan serta Exco yang berkenaan dalam masa terdekat.

Selain menyarankan penduduk Pasir gudang menyatakan bantahan secara besar-besaran, Hassan turut berpendapat penduduk boleh memfailkan kes tersebut ke mahkamah sekiranya bantahan itu tidak diendahkan oleh MBPG.

Bagi meredakan ketidakpuasan hati penduduk, molek bagi MBPG, khususnya Datuk Bandar serta Ahli Majlis MBPG memberikan penjelasan secara bersemuka kepada para penduduk.

Menerusi sesi dialog, semua kemusykilan dan rasional kenapa kenaikan tersebut perlu dilakukan dapat dijelaskan secara telus serta MBPG juga dapat mendengar pandangan daripada masyarakat.

Bagi meredakan dan menyelesaikan isu itu supaya tidak terus menjadi polemik, mungkin wajar campur tangan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebagai seorang Menteri Besar yang sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah rakyat, beliau pasti mempunyai idea dan pandangan yang bernas dalam menangani isu tersebut.

Apatah lagi isu cukai memang di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan MBPG juga merupakan PBT di bawah kerajaan negeri.

Ini masanya Menteri Besar boleh menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara beliau menangani isu tersebut, sekali gus dapat mencari jalan penyelesaian yang bersifat menang-menang bagi kedua-dua belah pihak.

Jangan sampai isu tersebut menjadi duri dalam daging yang boleh menjejaskan kewibawaan dan imej MBPG dan kerajaan negeri di mata rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya