Amaran hujan lebat, ribut petir di enam negeri

Amaran hujan lebat, ribut petir di enam negeri

ORANG ramai diminta peka dengan perubahan cuaca dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan Monsun Timur Laut dijangka tiba lebih awal daripada biasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hujan berterusan tahap waspada diramal melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu mulai hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai di negeri terlibat dinasihat berwaspada dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan ribut petir yang dijangka berlaku dalam tempoh yang lebih panjang di negeri negeri Utara Semenanjung iaitu sehingga hujung bulan ini.

Mereka dinasihatkan menjadi pasukan responden pertama yang bertindak jika berlaku sesuatu bencana alam di kawasan masing-masing tanpa menunggu ketibaan bantuan penyelamat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, pihaknya telah mengemas kini amaran amaran hujan berterusan tahap waspada.

Katanya, ia dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun lemah dijangka berlaku sehingga 30 November.

“Ini menyebabkan penumpuan angin juga dijangka berlaku di kawasan utara Selat Melaka hingga 27 November yang berpotensi menghasilkan ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia termasuk kawasan perairan negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Terkini dilaporkan seramai 1,224 mangsa banjir yang melibatkan empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor dan Pahang dan ditempatkan di 15 Pusat Pemindahan Sementara di daerah masing-masing.

Muhammad Helmi berkata, di negeri-negeri lain juga berpotensi berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh berkenaan.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, masyarakat perlu menjadi respon pertama yang bertindak kerana penduduk setempat lebih mengetahui lokasi di mana berlaku bencana (air banjir naik), tempat untuk berpindah dan sebagainya.

“Pasukan responder dan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bersedia dari segi aset, pusat pemindahan dan bekalan-bekalan di pusat pemindahan.

“Persiapan dan persediaan telah dibuat sepanjang tahun, kami juga telah mempersiapkan petugas di Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan sukarelawan bagi membantu mereka yang terjejas akibat banjir,” katanya ketika dihubungi.

Khairul Shahril berkata, penglibatan semua lapisan masyarakat dalam pengurusan bencana adalah dialu-alukan dan konsep pengurusan bencana negara adalah pendekatan keseluruhan kerajaan dan seluruh masyarakat

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan sentiasa bersedia membantu walaupun dalam keadaan tidak mendesak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×