Alliance Islamic Bank tawar pembiayaan mikro zakat

(VIDEO) Alliance Islamic Bank tawar pembiayaan mikro zakat

Rizal IL-Ehzan Fadil Azim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alliance Islamic Bank (AIS) menjadi institusi perbankan pertama di negara ini yang memperkenalkan konsep pengagihan dana zakat secara produktif dalam bentuk pembiayaan mikro untuk membantu golongan usahawan asnaf mendapatkan modal kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif AIS, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata usahawan asnaf yang berkelayakan akan menerima dana zakat dalam bentuk pembiayaan. Penerima pembiayaan zakat tersebut juga akan dibimbing untuk membina perniagaan supaya ianya dapat menjana pendapatan yang mampan untuk menyara hidup asnaf tersebut. Pada masa yang sama, pembayaran balik pembiayaan akan disalurkan semula ke dalam dana zakat dan diagihkan kepada asnaf yang lain.

Beliau menjelaskan, “Pembiayaan mikro zakat pertama kali diperkenalkan di Malaysia dan dibincangkan di dalam buku terbitan AIS bertajuk, “Zakat dan Pembiayaan Mikro” yang diterbitkan hasil kerjasama dengan beberapa pakar termasuk para penyelidik yang mempunyai pengkhususan dalam pembiayaan sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,” katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia.

Konsep ini turut mendapat sokongan segenap ulama dan cendekiawan dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia di majlis Muzakarah Cendiakawan Nusantara ke-16. Resolusi di pengakhiran Muzakarah tersebut menyatakan bahawahukum pembiayaan mikro menggunakan duit zakat adalah harus.

Rizal memberitahu, objektif utama Program Pembiayaan Mikro Zakat adalah untuk mengagihkan dana zakat secara produktif bagi menyediakan peluang mendapatkan pembiayaan dan modal kerja untuk usahawan asnaf yang menjalankan perniagaan mikro. Ini membolehkan penerima menjana mata pencarian yang lebih terjamin dan mempertingkatkan kedudukan ekonomi asnaf itu.

Program tersebut disasarkan kepada 40 usahawan B40 khususnya usahawan asnaf yang telah pun memiliki keperluan asas dan mempunyai azam untuk keluar dari kancah kemiskinan melalui keusahawanan.

Kaedah agihan secara produktif ini dipilih kerana zakat sejak sekian lama berperanan membantu golongan asnaf sama ada bagi memenuhi keperluan asas atau memberi bantuan modal kepada asnaf yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Zakat merupakan sistem agihan modal dan dana yang mampu memelihara keseimbangan ekonomi melalui pengagihan kekayaan yang saksama. Apabila zakat diinstitusikan dengan berkesan dalam sesebuah komuniti, ia akan menjamin keharmonian sosial dan rohani.”

Dana zakat yang disalurkan kepada pembangunan ekonomi golongan asnaf juga akan merapatkan silaturahim serta jurang ekonomi antara ahli masyarakat, lantas menjamin kesejahteraan komuniti.”

Katanya, AIS juga telah bekerjasama dengan sepasukan penyelidik yang terdiri daripada ilmuwan akademik dan pegawai-pegawai zakat untuk mengkaji perspektif Feqah dan Syariah mengenai kaedah tersebut.

Sebagai contoh, sebahagian ulama membenarkan pengguguran hutang daripada si fakir dianggap sebagai zakat atau pengagihan zakat tidak kepada kelapan-lapan asnaf, dan pelaburan harta zakat untuk maslahah yang lebih besar untuk asnaf.”

Selain itu, terdapat satu resolusi yang dikeluarkan oleh Bayt Al-Zakat Al-Kuwaiti yang mengatakan aplikasi agihan zakat secara bukan tradisional adalah dibenarkan. Ini bersumberkan tindakan Rasulullah SAW tatkala unta, lembu dan kambing zakat dikumpulkan, ia tidak diagihkan terus kepada asnaf. Akan tetapi, hanya susu unta diberikan kepada penerima zakat,” jelasnya.

Pembiayaan mikro zakat yang dikelolakan AIS ini mempunyai beberapa ciri istimewa terutamanya:

  • Sumber dana pembiayaan ini berasal daripada zakat. AIS merupakan bank pertama di Malaysia yang akan menggunakan dana zakat sepenuhnya untuk pembiayaan mikro bagi menyediakan akses pembiayaan yang berpatutan kepada usahawan mikro asnaf.

  • Penggunaan dana zakat sebagai pembiayaan mikro berlandaskan konsep di mana zakat dikitar semula untuk menjana impak berganda. Pada kitaran pertama, dana zakat diberikan kepada usahawan asnaf dalam bentuk pembiayaan mikro. Apabila pembayaran dibayar kepada institusi zakat, dana ini disalurkan semula bagi membiayai asnaf yang lain pada kitaran kedua dan seterusnya.

  • Pembiayaan ini dijalankan berlandaskan syairah iaitu tiada unsur riba di atas pembiayaan yang diberi.

  • Dengan menggabungkan aspek keagamaan, sosial dan keterangkuman kewangan, pembiayaan mikro zakat memberikan manfaat kepada kehidupan asnaf dan masyarakat yang dikelilinginya.

Katanya, AIS bersama-sama rakan kerjasama sedang dalam peringkat menyiapkan proses dan prosedur pembiayaan dan akan melancarkan program rintis ini dalam tempoh terdekat.

AIS akan berganding bahu dengan institusi zakat dan pihak ketiga dalam pelaksanaan program ini untuk memastikan ianya dijalankan secara teratur dan menepati piawaian pengurusan dana zakat yang sewajarnya.

Rakan pelaksana program ini dilantik berdasarkan kepakaran dan rekod prestasi yang baik dalam membantu usahawan mikro asnaf berjaya dalam perniaggan mereka.

Melalui program ini, AIS menyasarkan untuk mengagihkan dana zakat sebanyak RM200,000 semasa fasa perintis program ini dan membantu sebanyak 40 usahawan mikro asnaf untuk:

  • Mendapat bantuan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.

  • Mendayamajukan perniagaan melalui aktiviti-aktiviti sampingan seperti latihan dan bimbinganuntuk membantu meningatkan kemahiran perniagaan mereka.

  • Beralih dari status penerima zakat kepada seorang pembayar zakat di akhir program.

  • Mendapat akses kepada modal komersial dengan kadar yang lebih kompetitif apabila tidak lagi bergelar asnaf kelak.

Rizal menyatakan bahawa, AIS berniat untuk sentiasa membantu golongan yang terdedah bagi menjana pendapatan yang stabil melalui pelbagai inisiatif kewangan dan bukan kewangan. Selain program ini, AIS juga berusaha membantu memperkembangkan perniagaan usahawan-usahawan untuk berjaya melalui SocioBiz dan Economic Empowerment Programme. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya