PETALING JAYA: RHB Bank Bhd mencatat prestasi kukuh bagi suku pertama tahun ini dengan keuntungan bersih meningkat kepada RM856.76 juta berbanding RM750.03 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan didorong pendapatan berasaskan dana dan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi, disiplin kos serta kualiti kredit yang bertambah baik.
Jumpah pendapatan mencecah RM2.2 bilion, disokong pertumbuhan pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM1.6 bilion, manakala pendapatan bukan berasaskan dana meningkat 14.1 peratus kepada RM600 juta.
Margin faedah bersih dengan pengurusan liabiliti pula berada pada paras 1.91 peratus.
Bagaimanapun, hasil kumpulan bagi suku berkenaan susut sedikit kepada RM4.27 bilion berbanding RM4.39 bilion dalam suku sama 2025.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB, Mohd. Rashid Mohamad berkata, bank itu kekal komited menyokong pelanggan sambil mengekalkan disiplin kewangan berhemat dalam persekitaran ketidaktentuan global termasuk ketegangan geopolitik, perubahan dinamik perdagangan dan sentimen pasaran yang berhati-hati.
“Kami menyedari banyak perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), masih berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan luaran.
“Kami menyokong PKS menerusi langkah bersasar termasuk akses pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS Bank Negara Malaysia yang disokong skim jaminan bagi meningkatkan akses pembiayaan.
“Ini turut dilengkapi proses yang dipermudah termasuk laluan pantas untuk pelanggan layak serta bantuan pembayaran balik bersasar menerusi pengubahsuaian pinjaman, lanjutan tempoh pembiayaan dan penjadualan semula atau penstrukturan semula apabila diperlukan,” katanya.
Sepanjang tempoh itu, RHB terus mengekalkan disiplin kos berhemat dengan nisbah kos kepada pendapatan bertambah baik kepada 46.2 peratus daripada 47.4 peratus, selain mengekalkan kedudukan modal dan mudah tunai yang sihat.
Pinjaman kasar tahunan kumpulan meningkat 5.3 peratus kepada RM254 bilion, disumbangkan pertumbuhan masing-masing 4.6 peratus, 2.7 peratus dan 15.4 peratus dalam segmen perbankan komuniti kumpulan, perbankan korporat dan perniagaan kumpulan serta operasi di Singapura.
Deposit pelanggan tahunan pula berkembang 9.5 peratus kepada RM259 bilion dengan nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) kekal stabil pada 29.5 peratus.-UTUSAN
habis/










