Ahli Parlimen Jeli terima peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan

Ahli Parlimen Jeli terima peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan Perpaduan

ZAHARI Kechik semasa sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Jeli, Kelantan-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengesahkan menerima peruntukan sebanyak RM300,000 daripada Kerajaan Perpaduan selepas beliau membuat sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu.

Zahari berkata, peruntukan itu sudah diterima semalam selepas wang tersebut dimasukkan menerusi akaun Pusat Khidmat Parlimen Jeli.

Menurutnya, peruntukan yang diterimanya itu bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya  untuk membela rakyat di kawasan berkenaan.

“Peruntukan yang disalurkan itu bukan untuk saya, tetapi untuk rakyat di kawasan Parlimen Jeli kerana ia dimasukkan ke dalam akaun Pusat Khidmat Parlimen Jeli.

“Sebab itu saya cakap, ini (peruntukan) bukan untuk kepentingan saya, tetapi masuk untuk rakyat kerana akaun itu akan diaudit dan setiap tahun kita perlu menghantar laporan kewangan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP),” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Jeli di sini hari ini.

Zahari memberitahu, peruntukan itu adalah untuk tempoh dua bulan ini sahaja dan akan digunakan untuk pelbagai program komuniti dan kemasyarakatan serta bantuan termasuk persediaan banjir kepada rakyat di kawasan Parlimen Jeli.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Zahari mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gua Musang apabila mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 November lalu.

Zahari berkata, keputusan tersebut dibuat secara tanpa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak dan sokongan itu berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU).

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Bersatu dari Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyatakan sokongan kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Ia diikuti oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor pada 31 Oktober lalu.

Manakala Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi menyatakan sokongan kepada Anwar berkuat kuasa 7 November lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya