PETALING JAYA: Sebanyak 13 tindakan sita dan pindah barangan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap peniaga warga asing, termasuk individu yang menggunakan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) sebagai dokumen pengenalan.
DBKL menerusi hantaran di Facebook berkata, tindakan itu dilaksanakan susulan operasi penguatkuasaan terhadap perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di sekitar Jalan Selayang Baru, Pasar Harian Selayang, semalam.
Katanya, pemeriksaan melibatkan aktiviti penjualan barangan am, runcit, barangan basah, buah-buahan dan sayur-sayuran yang dijalankan tanpa lesen sah oleh bukan warganegara.
“DBKL telah mengeluarkan empat notis kompaun terhadap aktiviti perniagaan tanpa lesen serta melaksanakan 13 tindakan sita dan pindah barangan di lokasi terbabit.
“Antara individu terlibat turut menggunakan kad pelarian UNHCR sebagai dokumen pengenalan bagi menjalankan perniagaan di kawasan pasar berkenaan tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya.
DBKL berkata, menerusi pemeriksaan itu, pasukan operasi telah bertindak menyita pelbagai barangan termasuk peralatan perniagaan dipercayai digunakan dalam aktiviti haram tersebut.
Kesemua barangan dan peralatan perniagaan yang di sita, dipidahkan ke Setor Sitaan DBKL untuk tindakan dan dokumentasi lanjut oleh pihak penguat kuasa.
“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016 terhadap semua kesalahan terbabit.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Orang ramai boleh berhubung atau menyalurkan sebarang meklumat sekiranya terdapat sebarang aduan,” katanya.-UTUSAN










