Lepas dan bebas pelaku rasuah tanpa pengadilan hak pregoratif SPRM 

Lepas dan bebas pelaku rasuah tanpa pengadilan hak pregoratif SPRM 

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bergambar pada Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelesaian kes rasuah melalui bayaran kompaun yang membawa kepada perintah lepas dan bebas (DNA) adalah hak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dibenarkan oleh undang-undang.

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang atau mengulas tindakan SPRM dalam menjalankan kuasa yang telah ditetapkan di bawah undang-undang sedia ada.

“Di bawah undang-undang, SPRM boleh berbuat demikian. Jadi tidak wajar untuk saya mengulas mengenai prerogatif SPRM.

“Mereka mempunyai statut mereka sendiri dan sedang melaksanakan hak yang diperuntukkan dalam statut itu,” katanya selepas Majlis Perasmian Siri Syarahan Tun Zaki Azmi bertemakan Leading with Courage, Stewarding Justice di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Mengulas kebimbangan bahawa penyelesaian kes rasuah melalui kompaun boleh menimbulkan persepsi terhadap integriti sistem keadilan, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang membenarkan SPRM berbuat demikian.

Katanya, mahkamah hanya akan membuat keputusan berdasarkan proses perbicaraan sekiranya sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

“Saya tidak pasti sama ada ini akan menjadi duluan yang bakal mencetuskan persepsi atau tidak, tetapi undang-undang membenarkan SPRM berbuat demikian.

“Mahkamah akan membuat keputusan sewajarnya jika kes terbabit dibicarakan, namun keadaan sebaliknya jika ia tidak melalui proses berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dilaporkan menyuarakan kebimbangan bahawa amalan penyelesaian kes rasuah melalui pembayaran kompaun boleh menimbulkan persepsi seolah-olah kesalahan berkaitan integriti dan salah guna kuasa boleh diselesaikan tanpa melalui perbicaraan penuh di mahkamah.

Kebimbangan itu timbul susulan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Unit Komunikasi Korporat sebuah kementerian daripada pertuduhan memperoleh suapan bernilai RM5,268 selepas tertuduh membayar kompaun yang ditawarkan SPRM.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN