Agus enggan sumpah laknat terlibat perbualan video lucah

Agus enggan sumpah laknat berhubung dakwaan perbualan lucah dengan Wahab

agus
Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff enggan melafazkan sumpah laknat bagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau bercakap mengenai hal-hal lucah dengan seorang lelaki menerusi rakaman perbualan video Whatsapp yang telah tular. 

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu berkata, beliau tidak mahu berbuat demikian kerana penafiannya semalam dengan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, sudah cukup untuk mempertahan maruahnya. 

“Allahu akbar, dia sumpah…taknak lagi main benda seperti ini. Lets move one the level of questioning lah. (tukar soalan lain). Sudah berlaku, lepas satu…satu,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi di sini semalam. 

Beliau bersidang bersama-sama Abdul Wahab dan dua peguam masing-masing mewakili mereka itu iaitu Zaflee Pakwanteh dari firma guaman Zaflee & Co. dan Mohd. Faizal Abdul Rahman dari Tetuan Faizal Rahman & Co.

Semalam, individu yang dipanggil ‘Wahab’ muncul dalam sidang akhbar bersama Mohammad Agus, bagi menjelaskan rakaman video yang tular melibatkan perbualan lucah antara dua lelaki.

Kata mereka, rakaman video itu telah disunting dan dibingkaikan seolah-olah mereka sedang berbual mengenai perkara intim dan hubungan sejenis, sedangkan hakikatnya ia tidak seperti yang digambarkan. 

Sehubungan itu, Mohammad Agus telah membuat laporan polis petang semalam di Kajang dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu.

Abdul Wahab pula mendakwa dia diarah oleh pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘ Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Mohammad Agus. 

Abdul Wahab bagaimanapun memberitahu, isi perbualan dalam video tular  mengandungi unsur lucah itu bukan seperti yang tersebar dan tular dalam media sosial. Sebaliknya, katanya, video dirakamnya itu tidak mempunyai audio.

Katanya, pada November 2023, dia telah berjumpa Mr. H di pejabatnya dan beberapa pertemuan diatur oleh individu berkenaan termasuk membawanya ke Pejabat Perdana Menteri dan hotel di ibu negara untuk berjumpa beberapa individu berpengaruh yang disebut Mr. H.

Jelasnya, dia mendapat maklumat bahawa Mohammad Agus terlibat dalam aktiviti tidak bermoral selain dia telah ditugaskan untuk ‘membersihkan’ J-KOM dari dalam.

Dia juga telah menyerahkan kepada peguam berhubung senarai individu terlibat termasuk yang memegang jawatan tinggi di dalam J-KOM.

Baru-baru ini, media melaporkan satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Mohammad Agus dan tersebar di media sosial.

Video berdurasi 3 minit 3 saat itu dikongsi Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.

Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.

Menjengah ruangan caption pada video berkenaan, Che’gu Bard mempersoal jika lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan meletak jawatan.

Mohammad Agus kelmarin mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan dan diserah kepada Perdana Menteri semalam.

Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak.

Sumpah laknat merupakan sumpah sebagai Muslim yang dilakukan oleh dua orang atau lebih untuk melaknat orang atau pihak lain yang melakukan perbuatan tertentu.

Bagaimanapun, ia tidak diiktiraf secara rasmi dalam undang-undang Syariah Malaysia yang ditadbir secara berasingan oleh setiap negeri.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini dilaporkan berkata, istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai “li’an”.

Dalam Islam, ucapan li’an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi.

Pada Disember 2019, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya