Platform e-dagang terus catat kes penipuan tertinggi

Platform e-dagang terus catat kes penipuan tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform e-dagang terus mencatatkan kes penipuan tertinggi meskipun pelbagai langkah keselamatan telah dilaksanakan bagi melindungi pengguna.

Pengarah Kepercayaan dan Pengalaman Pelanggan Carousell, Gijs Verheijke berkata, penipuan e-dagang dan pancingan data kekal antara kaedah utama digunakan penipuan di platform itu.

Katanya, dapatan itu berdasarkan Laporan Trend Penipuan Serantau Carousell 2025 yang diterbitkan hari ini.

Menurutnya, penipu dikesan menukar taktik termasuk memindahkan perbualan ke luar platform bagi memperdaya pengguna.

“Laporan itu menunjukkan, sepanjang tahun lalu, penipu menyesuaikan taktik secara kreatif atau menukar pendekatan bagi melancarkan penipuan.

“Di Malaysia, corak penipuan sebahagian besarnya kekal sama dan masih berterusan sehingga kini, termasuk meminta alamat e-mel untuk menghantar pautan pembayaran palsu atau lesap selepas menerima bayaran tanpa menghantar barangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan laporan itu, Gijs berkata, antara jenis penipuan utama yang dikesan termasuk maklumat palsu dan kegagalan penghantaran barangan, pancingan data di luar platform serta penipuan berkaitan deposit atau pra-pesanan.

“Penipuan ini lazimnya melibatkan tawaran harga menarik atau stok terhad bagi mendorong pengguna membuat bayaran awal.

“Penipu juga menyasarkan pembelian barangan digital dan permainan kerana transaksi sukar dipulihkan,” jelasnya. 

Selain itu,corak penipuan berbeza mengikut negara di lima pasaran utama Carousell iaitu Malaysia, Filipina, Hong Kong, Singapura dan Taiwan.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan penipuan di semua pasaran berkongsi persamaan iaitu mengeksploitasi kepercayaan pengguna dalam transaksi dalam talian.

Tambah Gijs, bagi meminimumkan risiko penipuan, Carousell mengambil langkah proaktif termasuk menyekat penghantaran pautan luar, alamat e-mel dan kod QR dalam aplikasi bagi mengurangkan risiko penipuan.

“Peningkatan penggunaan kod QR menunjukkan penipu menyesuaikan taktik susulan sekatan terhadap pautan dan e-mel.

“Pada masa sama, keupayaan pengesanan platform turut dipertingkat bagi mengenal pasti dan menyekat cubaan penipuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, laporan berkenaan turut menunjukkan majoriti transaksi di platform itu kekal selamat.

“Sebanyak 99.96 peratus transaksi di semua pasaran Carousell bebas daripada penipuan, manakala Malaysia mencatatkan kadar 99.95 peratus.

“Hampir 92 peratus pengguna di Malaysia juga tidak pernah berhadapan dengan penipu di platform ini,” katanya.

Secara keseluruhan, lebih 451,000 akaun mencurigakan digantung di peringkat serantau termasuk lebih 91,000 akaun di Malaysia.

Lebih 520,000 laporan komuniti turut disemak termasuk lebih 92,000 laporan di Malaysia, sebagai sebahagian usaha membendung aktiviti penipuan dalam talian. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN