MELAKA: Seramai 45 warga asing ditahan dalam serbuan serentak ke atas dua kediaman mewah di Taman Kota Bendahari di sini yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian membabitkan tawaran perkhidmatan seks tidak wujud, love scam dan skim pelaburan palsu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada warga China, Vietnam dan Indonesia berusia antara 20 hingga 44 tahun dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka bersama beberapa unit lain.
Katanya, hasil risikan dan serbuan bersepadu itu berjaya melumpuhkan dua sindiket aktif yang menjalankan penipuan secara dalam talian menggunakan modus operandi berbeza, selain turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan.
“Sindiket ini menjalankan penipuan tawaran perkhidmatan seks tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari China dengan menggunakan aplikasi komunikasi tertentu.
“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk komputer riba, puluhan telefon bimbit, modem, dokumen skrip penipuan serta beberapa passport,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Serbuan pertama pada 23 April lalu di sebuah premis di Taman Kota Bendahari membawa kepada penahanan 21 individu, termasuk warga China dan Indonesia, manakala dalam serbuan kedua di lokasi berasingan di kawasan sama, polis menahan 24 lagi individu terdiri daripada warga Vietnam dan China.
“Sindiket kedua ini menjalankan kegiatan love scam dan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari Vietnam. Mangsa dipujuk untuk melabur dalam skim mata wang kripto melalui laman web palsu,” katanya.
Dzulkhairi berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua sindiket itu mula beroperasi sejak Januari lalu dengan menawarkan gaji antara RM2,500 hingga RM6,000 kepada ahli, selain komisen sehingga RM2,000 bagi setiap mangsa yang berjaya diperdaya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan membuat semakan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Orang ramai juga digesa menyemak nombor akaun atau telefon melalui laman Semak Mule dan segera menghubungi pihak bank atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN










