TAWAU: Seramai 80 individu disyaki terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian dibawa ke mahkamah, di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan.
Semua tertuduh tiba dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kawalan ketat polis kira-kira pukul 9 pagi sebelum dibawa masuk ke kompleks mahkamah secara berperingkat.
Semua tertuduh dilihat digari dan dirantai dalam beberapa kumpulan kecil sebelum dibawa masuk ke bilik bicara.
Keadaan dalam bilik bicara turut sesak berikutan jumlah tertuduh yang ramai sehingga sebahagian mereka terpaksa duduk di lantai termasuk di ruang galeri awam.
Prosiding dikendalikan dengan bantuan jurubahasa mahkamah berikutan majoriti tertuduh hanya memahami bahasa Mandarin.
Semua tertuduh sebelum ini direman dua kali iaitu pada 8 dan 11 April, sebelum tempoh reman tamat kelmarin dan semalam.
Terdahulu, polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis dari China, dengan sasaran mangsa di luar negara, khususnya warga China menetap di Amerika Syarikat pada 7 April lalu. – UTUSAN










