Kanak-kanak bermain air bersama rakan ditemukan lemas di Pantai Taping, Kemasik - Utusan Malaysia

Kanak-kanak bermain air bersama rakan ditemukan lemas di Pantai Taping, Kemasik

ANGGOTA polis mengusung mayat Muhammad Ammar Azwan Azani yang ditemukan lemas dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, petang tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Kegembiraan dua kanak-kanak bermain air di Pantai Taping, Kemasik, dekat sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya ditemukan lemas, petang tadi.

Mayat Muhammad Ammar Azwan Azani yang berusia lapan tahun, ditemukan seorang pekerja swasta, Marzuki Mahat, 34, yang kebetulan berada di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.20 petang.

Menurut Marzuki, dia yang sedang berehat bersama keluarganya di dalam kereta, tiba-tiba didatangi seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang memberitahu rakannya lemas.

“Kanak-kanak itu memberitahu mereka tinggal di kampung ini dan ke pantai itu berbasikal hanya berdua, saya nampak ada dua pasang selipar berhampiran basikalnya. Saya terus hubungi polis sebelum turun berenang mencari mangsa.

“Pada awalnya, saya diberitahu mangsa memakai baju hijau, saya berenang dan menyelam sekitar 15 minit di sekitar tempat dia hilang, namun tidak berjaya menemukan mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Marzuki berkata, tidak sampai lima minit dia melakukan pencarian untuk kali kedua, mangsa berjaya ditemukan.

“Saya nampak seperti objek berwarna hitam terapung berhampiran batu besar. Bila saya dekati, memang objek itu adalah mangsa yang berpakaian hitam.

“Saya usung mangsa dan cuba bagi bantuan pernafasan awal (CPR), namun keadaan mangsa dah longlai, hanya air yang keluar dari mulutnya, saya periksa nadinya dah tak bergerak,” katanya yang terkilan gagal menyelamatkan nyawa mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Saya nasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai dan pengunjung agar tidak bermain air dan sentiasa mengawasi anak mereka berikutan kita telah memasuki fasa monsun timur laut dan laut juga sudah mula bergelora,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya