5 inisiatif Pelan Liberalisasi Visa 

5 inisiatif Pelan Liberalisasi Visa 

SEMUA pelancong yang ingin masuk ke Malaysia diberikan kemudahan Multiple Entry Visa (MEV) bagi tempoh sehingga 30 hari. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenal lima inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa bertujuan menjana hasil pendapatan negara sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam industri utama pelaburan dan pelancongan di rantau Asia.

Untuk tujuan itu, usaha penambahbaikan kemudahan imigresen sedia ada dilaksanakan mulai 1 Disember ini sebagaimana dinikmati pengembara ke Malaysia seperti dari negara-negara Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Asia Barat dengan melakukan anjakan dasar dan memperkenalkan pendekatan baharu mengikut tuntutan semasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain inisiatif pemberian pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, semua pelancong yang ingin masuk ke Malaysia diberikan kemudahan Multiple Entry Visa (MEV) bagi tempoh sehingga 30 hari.

Selain itu ialah pemberian Pas Lawatan Sosial (Jangka Panjang) dengan keberadaan sehingga 12 bulan untuk pelajar antarabangsa yang tamat pengajian di Malaysia bagi tujuan menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan dalam sektor pekerjaan dibenarkan mengikut undang-undang di dalam negara. 

“Ia dibuka kepada 23 warganegara yang berisiko rendah dan berpendapatan tinggi iaitu Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kanada, Switzerland, Belanda, Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Amerika Syarikat.

“Pemberian visa transit umrah bagi tempoh tujuh hari melalui agensi pengendali umrah yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, satu lagi inisiatif ialah penambahbaikan tempoh sah laku visa dipanjangkan daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Katanya, tempoh kelayakan Pas Lawatan Sosial diselaraskan kepada minimum 30 hari bagi semua negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia.

Menurut Saifuddin, pelaksanaan pelan liberalisasi visa ini akan diperkukuhkan dengan langkah kawalan dan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi-agensi penguat kuasa sekali gus boleh menghindar dari berlakunya isu-isu seperti kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI). 

Oleh yang demikian, jelasnya, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia terjamin. 

“Langkah ini dengan mengekalkan pelaksanaan tapisan awal keselamatan kepada semua pengembara ke Malaysia terutama yang mempunyai rekod jenayah atau risiko keganasan. 

“JIM akan mewujudkan pasukan khas bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India iaitu pada tarikh akhir hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara,” katanya. 

Tambah Saifuddin,  pemantauan tersebut akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata, aktiviti naziran dilakukan di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warganegara asing seperti di  kawasan Masjid India, Plaza Lowyat dan Bukit Bintang  bagi membanteras PATI;

Katanya, aktiviti risikan dan penguatkuasaan dipergiatkan kepada bukan sahaja pekerja asing tetapi juga kepada majikan yang menggajikan atau melindungi PATI.

“Prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk atau Notto-Land (NTL) dikekalkan dan tidak dikompromi.

“Syarikat penerbangan diberi tanggungjawab untuk menyemak dan memastikan pelancong yang masuk ke Malaysia mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel sepanjang keberadaan di Malaysia yang disahkan,” katanya. 

Pada masa sama, Saifuddin berkata, pihaknya akan meneroka cadangan untuk mewajibkan pengisian data di Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) yang berintegrasi dengan sistem imigresen MyIMMs bagi memastikan data kemasukan pelancong asing direkodkan.

Katanya, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dikaji semula berkaitan kadar kompaun, denda dan atau hukuman untuk tindakan jangka panjang.

“Pelaksanaan pelan liberalisasi visa ini akan dikaji semula selepas tempoh satu tahun untuk menilai pulangan pelaburan (ROI) kepada negara, keberkesanan inisiatif dan penilaian risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yang diberikan.

“Sekiranya berlaku insiden atau kejadian di luar jangkaan, maka pelan liberalisasi visa ini akan disemak semula untuk ditambah baik sebagai persediaan menjelang tahun 2025 dan 2026,” katanya.

Jelasnya, tindakan ini akan dapat membantu pihak kerajaan dalam memperkemas dasar dan prosedur berkaitan dan menjamin ketersediaan pasukan imigresen di pintu masuk negara untuk menerima kehadiran pelancong asing dalam tempoh dua tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya