5 daripada 18 kemalangan maut babitkan lori berlaku di Pulau Pinang - JPJ - Utusan Malaysia

5 daripada 18 kemalangan maut babitkan lori berlaku di Pulau Pinang – JPJ

ADENAN Md. Isa menunjukkan keadaan tayar sebuah lori yang berlopak ketika meninjau Ops Teknikal Kenderaan Perdagangan berhampiran Plaza Tol Juru menghala ke utara, di Pulau Pinang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM:  Sebanyak 18 kes kemalangan maut melibatkan kenderaan barangan khususnya lori direkodkan untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini dengan lima daripada kes tersebut berlaku di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Datuk Adenan Md. Isa berkata, data itu diperoleh hasil semakan dan audit keselamatan yang dijalankan JPJ terhadap pemilik syarikat kenderaan.

Beliau berkata, semakan itu bertujuan melihat sama ada mereka menyedari atau tidak kesalahan yang dilakukan oleh pemandu-pemandu kenderaan mereka menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) khususnya dalam memantau tahap kelajuan.

OPS Teknikal Kenderaan Perdagangan menyasarkan kenderaan barangan khususnya lori yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di jalan raya.

“Kita akan periksa kenderaan-kenderaan ini melalui operasi yang dijalankan di lebuh raya dalam usaha untuk mengelak serta mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada lori-lori yang membawa lebih muatan, rosak, tidak selenggara kenderaan, berhenti di lorong kanan dan sebagainya hingga menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Bagi saya, lima kes kemalangan maut yang berpunca daripada kenderaan barangan ini terutamanya lori di Pulau Pinang ini masih dianggap tinggi kerana kita di sini (Pulau Pinang) ada jalan (raya) yang sibuk.

“Jadi, jika kita dapat atasi atau kurangkan (kadar kemalangan), itu adalah lebih baik. Kita nak pemilik syarikat (kenderaan) ini lebih bertanggungjawab dengan memantau pemandu mereka melalui GPS,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Ops Teknikal Kenderaan Perdagangan berhampiran Plaza Tol Juru menghala ke utara, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, pihaknya akan mengesyorkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung permit operasi bagi pemilik syarikat kenderan itu jika terbukti sengaja melanggar peraturan.

“Kebiasaannya apabila sesuatu permit itu digantung oleh APAD, syarikat yang berkenaan tidak boleh beroperasi untuk suatu tempoh yang tertentu yang akan ditentukan oleh APAD sendiri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 4,593 kenderaan diperiksa dengan 365 daripadanya telah diambil tindakan di bawah Ops Obstacle / Lebuh Raya untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Menurut Adenan, untuk tempoh yang sama, sebanyak 536 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan sebahagian besar notis berkenaan iaitu sebanyak 392 mengikut JPJ (P) 22.

“Kesalahan teknikal seperti mengubah suai nombor plat kenderaan, memasang cermin gelap, tidak selenggara kenderaan, menggunakan kayu penyendal serta tayar yang tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya adalah yang paling banyak dikesan iaitu sebanyak 357 kes.

“Turut dikesan ialah kesalahan seperti tiada lesen vokasional, lesen tamat tempoh, tiada insurans dan sebagainya dengan 53 kes, kesalahan di bawah tujuh kesalahan utama seperti potong barisan secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit dan lain-lain dengan 72 kes serta kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya dengan 54 kes,” katanya.

Tambah Adenan, statistik bagi Ops Patuh Bersepadu yang direkodkan sehingga kelmarin pula menunjukkan sebanyak 32,792 kenderaan telah diperiksa dengan 5,038 daripadanya telah diambil tindakan sepanjang tahun ini. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya