BALING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah bas sekolah yang disyaki menyalahgunakan permit apabila membawa 26 penumpang ke majlis pengebumian dalam operasi di Plaza Tol Gurun, dekat sini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, bas dipandu lelaki berusia 73 tahun itu dalam perjalanan ke Bukit Jenun ketika ditahan dalam Op Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
“Pemeriksaan mendapati pemandu bas sekolah itu menyalahgunakan permit yang dikeluarkan untuk membawa pelajar sekolah bagi tujuan lain iaitu membawa penumpang ke program persendirian.
“Pemandu bas mendakwa dia mengambil penumpang bagi tujuan lain kerana kurang permintaan untuk membawa pelajar sekolah, apa pun alasannya ia tetap salah,” katanya pada sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa JPJ Kuala Ketil, di sini hari ini.
Stien berkata, pemandu bas terbabit dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu dan kenderaan terbabit kini disita untuk siasatan di bawah Seksyen 22(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana disyaki melanggar syarat lesen pengendali.
Tambah beliau, pihaknya sebelum ini turut menahan sebuah kenderaan persendirian iaitu van dalam keadaan daif yang didapati membawa pelajar sekolah secara haram.
“Kita ingin menasihatkan ibu bapa agar tidak sesekali menggunakan perkhidmatan van atau bas sekolah tanpa permit bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan,” ujarnya.
Sementara itu, JPJ akan mengadakan operasi khas sempena Hari Raya Aidiladha bermula 24 hingga 31 Mei iji bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya. – UTUSAN










