KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berhati-hati dengan penyebaran iklan palsu yang mendakwa menawarkan jawatan kosong dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui kod QR di media sosial.
JPJ menegaskan tiada sebarang iklan jawatan kosong dikeluarkan menggunakan kaedah tersebut dan iklan yang tular itu adalah palsu.
Menurut JPJ, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung pautan dan kod QR yang disebarkan, dipercayai digunakan untuk memperdaya orang ramai bagi mengumpul maklumat peribadi.
“Iklan berkenaan turut menggunakan logo rasmi jabatan, imej anggota beruniform dan latar bangunan bagi meyakinkan orang ramai sehingga ia kelihatan seperti iklan sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara jawatan yang didakwa ditawarkan ialah pembantu penguat kuasa dan kerani dengan gaji antara RM2,700 hingga RM3,800 serta syarat minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Iklan itu turut mengarahkan pemohon membuat permohonan melalui kod QR dan nombor telefon yang disediakan, yang dipercayai digunakan sebagai taktik untuk memperdaya orang ramai.
JPJ menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak jabatan sebelum memohon sebarang pekerjaan.
Orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan melalui Portal Aduan Rasmi JPJ di https://jpj.spab.gov.my/
JPJ turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penipuan pekerjaan dalam talian yang semakin berleluasa. – UTUSAN










