463 nelayan terjejas projek KLIP terima ex-gratia fasa pertama

463 nelayan terjejas projek KLIP terima ex-gratia fasa pertama

AB. RAUF Yusoh (tiga dari kiri) menyampaikan sagu hati kepada penerima pada Program Bayaran Sagu Hati Ex-Gratia di Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seramai 463 nelayan yang terjejas dengan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) menerima bayaran fasa pertama ex-gratia daripada tiga kali siri pembayaran itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri juga bersetuju bayaran sagu hati itu dibayar setiap tahun berbanding dua tahun sekali sebelum ini.

Kata beliau, pembayaran itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada para nelayan setelah sekian lama menunggu untuk mendapatkan sagu hati.

“Jumlah bayaran ex-gratia adalah RM5.4 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan infrastruktur di kawasan nelayan Melaka Barat pada tahun ini manakala RM1 juta bagi pembangunan ekonomi di kawasan nelayan Melaka Barat.

“Baki pampasan sebanyak RM4.3 juta akan dibayar kepada nelayan-nelayan yang terkesan di Alor Gajah dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Pemberian ini melibatkan tiga fasa kepada nelayan laut dan nelayan darat.

“Justeru, saya berharap tiada lagi isu berbangkit selepas ini kerana KLIP akan memulakan pembangunan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar Program Bayaran Sagu Hati Ex-Gratia di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya.

Tambah Ab. Rauf, bayaran fasa pertama melibatkan 463 nelayan Melaka Barat dan Port Dickson.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 348 penerima adalah nelayan dalam daerah Alor Gajah manakala nelayan dari Port Dickson seramai 115 orang.

“Kepada nelayan yang akan menerima bayaran sagu hati ini, saya menasihatkan agar menggunakan wang ini dengan sebaik mungkin untuk perkara yang berfaedah,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN