PETALING JAYA: Lari sehelai sepinggang selepas dimaklumkan rumah akan dibom antara detik cemas yang terpaksa dilalui seorang warga Semenanjung Gaza akibat serangan rejim Israel.
Perkara itu diceritakan kepada wanita warga Malaysia yang kini berada di Gaza, Nurul Ain Harun yang dikongsikan menerusi rakaman video kepada Utusan Malaysia.
[VIDEO PENUH AKAN MENYUSUL]
Dalam rakaman itu, wanita warga Palestin itu memberitahu, dia kini terpaksa menumpang di rumah rakannya selepas meninggalkan rumahnya yang terletak berdekatan sempadan Palestin-Israel.
Bagaimanapun, katanya, ini bukan pertama kali rumahnya terlibat dalam serangan bom selepas pernah hancur dalam peperangan pada 2014 lepas.
“Jadi, kami tidak tahu apa jadi dekat rumah…kami lari tinggalkan semua dekat sana, cuma pakai baju datang sini.
“Apabila (rakan) tahu, jadi mereka panggil datang duduk dengan mereka…walaupun tahu keadaan mereka pun susah,” kongsinya.
Menceritakan lebih lanjut, mereka ketika ini hanya makan apa sahaja yang ada seperti roti untuk mengalas perut.
“Tetapi, dalam keadaan begini, kami tidak ada selera untuk makan…sebab yang penting sekarang bukan makanan, cuma mahu rasa selamat, itu sahaja.
“Anak-anak pun takut…(kasihan) sedangkan mereka layak jalani kehidupan lebih bagus lagi,” luahnya.
Sepanjang rakaman kira-kira 18 minit, lebih tiga letupan bom dapat didengar dengan jelas menerusi video tersebut.
Dalam pada itu, Nurul Ain menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu berkongsi rezeki bersama rakyat Palestin yang teruk terjejas.
Malah, wanita warga Palestin itu juga mengharapkan rakyat Malaysia dapat menyaksikan sendiri penderitaan mereka di sana.
“Ini peluang bagus untuk ceritakan dekat orang dan sampaikan gambaran kepada Malaysia apa yang jadi di sini.
“Selalu orang dengar sahaja apa jadi di Gaza, tetapi awak di sini boleh hadapi sendiri apa yang jadi,” katanya kepada Nurul Ain.
Setakat Khamis, dilaporkan seramai 1,537 rakyat Palestin yang meninggal dunia di Gaza sejak Israel melancarkan serangan balas dendam pada Sabtu, termasuk 500 kanak-kanak dan 276 wanita. – UTUSAN










