UNSC gagal, Malaysia kekal bersama OIC dan Liga Arab - PM

UNSC gagal, Malaysia kekal bersama OIC dan Liga Arab – PM

ANWAR Ibrahim ketika ditemui media di kedai makan Ramli Corner, Dengkil. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Malaysia akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghentikan isu Palestin-Israel.

Nada tegas itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan perkembangan terbaharu yang dicapai pada persidangan tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) semalam.

Anwar berkata, Malaysia secara dasarnya akan terus mengadakan hubungan dengan dua badan itu (OIC dan Liga Arab) dan sepakat mengambil tindakan bersama.

“Kita tak peduli apa keputusan yang lain (UNSC). Tapi pendirian kita ialah hak rakyat Palestin mesti dikembalikan termasuk soal tanah, harta dan maruah mereka.

“Tapi apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menghentikan serangan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan. Itu keutamaan kita (Malaysia) sekarang.

“Apa yang penting, soal bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan perlu disegerakan. Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sissi juga sudah memberi jaminan untuk menyegerakan pendaratan bantuan di sempadan Rafah – Palestin,” katanya ketika ditemui selepas menjamu selera bersama rakyat di Dengkil, hari ini.

Ditanya sama ada Malaysia akan memboikot PBB bersama OIC dan Liga Arab, Anwar berkata, Malaysia buat masa ini memihak kepada dua badan itu, malah rundingan perkembangan mengenai isu Palestin dilakukan setiap hari.

“Kami sepakat bahawa peperangan ini segera dihentikan. Itu keutamaan negara-negara Islam,” katanya.

Sebelum ini, UNSC sekali lagi gagal mencapai keputusan berhubung perang Palestin-Israel ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Russia dan China menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Amerika Syarikat (AS) yang mengusulkan supaya perang dihentikan seketika bagi membolehkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik dan perlindungan ke atas penduduk.

PBB melaporkan bahawa kegagalan itu disebabkan usul berkenaan tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan negara anggota UNSC.

Dalam undian yang dibuat, usul itu hanya diterima oleh empat negara anggota iaitu Russia (pembawa usul), China, Gabon, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Usul itu ditolak oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala sembilan negara anggota memutuskan untuk berkecuali iaitu Albania, Brazil, Ecuador, Perancis, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique dan Switzerland. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya