Tumpahan minyak jejas operasi LRA - Utusan Malaysia

Tumpahan minyak jejas operasi LRA

LRA
KAKITANGAN LUAS memeriksa keadaan air di Sungai Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pencemaran bau yang menyebabkan henti tugas empat loji rawatan air (LRA) pada awal pagi tadi berpotensi akibat faktor kuantiti minyak yang minima dan bersifat sementara masuk ke Sungai Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan siasatan di beberapa kawasan antaranya lokasi pengorekan pasir, aktiviti pembangunan berhampiran dan Jambatan Sungai Sembah.

“Hasil siasatan dan pensampelan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti itu menunjukkan bacaan bau sifar TON dan tiada kesan minyak.

“Insiden itu berpotensi disebabkan faktor kuantiti minyak yang minima dan bersifat sementara masuk ke dalam Sungai Selangor. Bahan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisa lanjut,” katanya, hari ini.

Terdahulu, empat LRA iaitu LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 dihenti tugas sementara berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor.

Kesemua LRA berkenaan bagaimanapun sudah mula kembali beroperasi pukul 4 pagi tadi.

Jelas Jamaliah, henti tugas dilaksanakan selepas LUAS menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berhubung bau seakan diesel sehingga bacaan 3 TON yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang.

“Tindakan segera dilakukan dengan meletakkan oil boom di muka sauk dan mengaktifkan pelepasan air daripada HORAS 600.

“Kolam alternatif di Bestari Jaya sebanyak 590 juta liter sehari (JLH) ke Sungai Selangor juga dilepaskan bermula pukul 12 tengah malam bagi meningkatkan faktor pencairan (dilution factor) sungai,” ujarnya.

Tambah beliau, mitigasi pencemaran itu berjaya dilaksanakan segera hasil koordinasi dan tindakan pantas LUAS serta Air Selangor.

“LRA Rantau Panjang beroperasi semula pukul 2.30 pagi diikuti LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 dengan tempoh henti tugas sementara tidak lebih empat jam.

“Siasatan susulan bagi mengenal pasti punca kejadian diteruskan dan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya