Tiger Stripes wakili Malaysia di Oscars Ke-96

Tiger Stripes wakili Malaysia di Oscars Ke-96

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Filem cereka tempatan berjudul ‘Tiger Stripes’ dipilih secara rasmi mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-96 (Oscars) Mac 2024.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan filem itu dinilai dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang terdiri daripada penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman.

Katanya, ia juga melalui proses penilaian serta pematuhan kepada peraturan penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Oscars.

Tiger Stripes merupakan filem terbitan syarikat G Grrrl Pictures Sdn. Bhd. dan arahan pertama Amanda Nell Eu, dibintangi Zafreen Zairizal, Piqa, Deena Ezral, Jun Lojong, Khairunazwan Rodzy, Fatimah Abu Bakar, Shaheizy Sam serta ramai lagi.

“Di peringkat antarabangsa, filem ini telah memenangi Anugerah Grand Prix di Semaine de la Critique ke-62 sempena Festival Filem Cannes ke-76 di Perancis.

“Selain itu, filem ini turut menerima Anugerah Khas Penghargaan Juri (Special Jury Mention) bagi kategori Filem Cereka Pertama di Fantasia International Film Festival ke-27 di Kanada, masing-masing pada bulan Mei dan Julai 2023,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Fahmi berharap, perkembangan itu dapat menjadi penyuntik semangat kepada semua penggiat filem untuk terus mendukung misi kerajaan dalam usaha memperkasakan industri perfileman negara di peringkat global.

“Pada masa sama, saya berharap usaha ini akan meningkatkan potensi penjenamaan serta pengantarabangsaan produk filem dan bakat kreatif negara yang berkualiti tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN