Mesyuarat Exco Melaka minggu ini dipercepat

Mesyuarat Exco Melaka minggu ini dipercepat

LAPORAN Utusan Malaysia pada 18 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mesyuarat Majlis Me­syuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka yang pada asal­nya dijadualkan Rabu ini difahamkan telah dipercepatkan sehari lebih awal.

Perkembangan itu seakan men­jadi petunjuk terbaharu ba­hawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mungkin diumumkan minggu ini ataupun seawalnya esok.

Menurut sumber, perubahan jadual mesyuarat Exco itu dibuat atas sebab tertentu, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa urusan pentadbiran terakhir kerajaan negeri sedang diselesaikan sebelum DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Mesyuarat Exco yang akan diadakan di Seri Negeri pada awalnya ditetapkan pada Rabu, tetapi atas sesuatu sebab ia dipercepatkan kepada Selasa.

“Lagipun surat pembubaran DUN telah ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam ming­gu lalu kerana Tun malam tadi (kelmarin) sudah berangkat ke Jepun serta berada di negara itu untuk tempoh seminggu.

“Selepas mesyuarat Exco itu, tidak mustahil pengumuman pembubaran DUN dibuat pada hari sama,” kata sumber kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut sumber itu, surat berkaitan pembubaran DUN yang dikatakan telah ditandatangani oleh Mohd. Ali itu sekali gus membuka ruang untuk proses seterusnya dilaksanakan dalam masa terdekat.

Perkembangan terbaharu itu dilihat signifikan susulan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini memberikan beberapa petunjuk bahawa pembubaran DUN akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Pada 17 September lalu, Ab Rauf berkata tarikh pembubaran DUN masih belum ditetapkan, namun mengulangi bahawa PRN Melaka akan diadakan dalam tempoh terdekat dan beliau akan memaklumkan kepada media apabila tiba masanya.

Sebelum itu, Ab Rauf turut menggunakan istilah ‘satu Jumaat lagi’ sebagai indikator berhubung tempoh sebelum pembubaran DUN, selepas sebelum ini menyebut ‘empat Jumaat’ dan kemudian ‘dua Jumaat’.

Bagaimanapun, dakwaan ber­hubung dokumen pembubaran itu perlu dilihat bersama penafian rasmi sebelum ini apabila Ab Rauf pada 16 September lalu menafikan beliau telah menandatangani dokumen pembubaran DUN.

“Kalau sudah tanda tangan, hari inilah saya isytihar. Memang tiada tanda tangan apa-apa dokumen pembubaran,” katanya ketika itu.

Pejabat Ketua Menteri Melaka juga sebelum itu menafikan maklumat tular yang mendakwa Mohd. Ali dan Ab Rauf telah menandatangani dokumen pembubaran DUN dalam satu pertemuan di MITC, Ayer Keroh.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan pada PRN Melaka pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Mandat DUN Melaka ketika ini pula akan berakhir pada 30 Disember 2026, sekali gus pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh ditetapkan sekiranya DUN dibubarkan lebih awal.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×