Pusat data perlu seimbang dengan kelestarian tenaga, air

Pusat data perlu seimbang dengan kelestarian tenaga, air

PENCAWANG elektrik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUMBUHAN pesat industri pusat data di Malaysia perlu diseimbangkan dengan keupayaan negara mengurus penggunaan tenaga dan air bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan tidak menjejaskan sasaran kelestarian alam sekitar.

Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Yusoff Ishak berkata, bagi negara beriklim tropika seperti Malaysia, sistem penyejukan boleh menyumbang sehingga 40 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga sesebuah pusat data.

“Pada masa sama, data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menunjukkan pusat data di Malaysia menggunakan kira-kira 28.68 juta liter air sehari setakat Januari 2026.

“Penggunaan tenaga dan air yang tinggi itu menjadikan pembangunan pusat data antara perkara yang perlu diberi perhatian dari sudut kesan alam sekitar, khususnya ketika permintaan terhadap kemudahan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) terus berkembang.

“Antara kesan utama yang perlu ditangani ialah pelepasan gas rumah hijau dan bahan pencemar udara akibat penggunaan elektrik, permintaan tenaga yang tinggi, penggunaan air serta tekanan terhadap sumber air susulan proses penyejukan dan penjanaan tenaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, ujarnya, haba buangan daripada pusat data berpotensi menyumbang kepada beban haba setempat, manakala persaingan mendapatkan lokasi yang sesuai pula boleh memberi tekanan terhadap penggunaan tanah dan ekosistem.

“Kesan alam sekitar turut meliputi keseluruhan rantaian hayat peralatan pusat data, termasuk proses pembuatan, pelupusan peralatan, penghasilan sisa elektronik serta pengekstrakan bahan mentah bagi menghasilkan komponen berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, penggunaan elektrik pusat data yang tinggi juga berpotensi memberi tekanan kepada usaha Malaysia mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon.

“Malaysia menyasarkan 70 peratus tenaga boleh baharu dalam campuran penjanaan elektrik menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selain menyasarkan pencapaian sifar bersih pada tahun sama.

“Penggunaan elektrik pusat data boleh melambatkan kemajuan usaha pengurangan karbon sekiranya pertambahan permintaan tenaga dipenuhi terutamanya melalui penjanaan berasaskan bahan api fosil atau sekiranya pembangunan grid tenaga boleh baharu tidak berkembang seiring.

“Namun, kesan tersebut boleh diuruskan menerusi pembangunan sumber tenaga boleh baharu, penaiktarafan grid serta peningkatan kecekapan tenaga secara serentak dengan pertumbuhan industri pusat data,” katanya. 

Di Semenanjung Malaysia khususnya, pertumbuhan pesat pusat data telah meningkatkan permintaan elektrik.

“Sekiranya peningkatan kapasiti dan keupayaan grid tidak dilaksanakan pada masa yang sesuai, sistem tenaga berpotensi menjadi lebih bergantung kepada penjanaan gas asli, sekali gus memberi implikasi terhadap kos tenaga dan usaha mengurangkan pelepasan karbon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×